MANILA — Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan kepentingan mengekalkan Perpaduan dan Kepusatan ASEAN bagi menjamin kestabilan kolektif serta mendepani cabaran serantau yang semakin kompleks.
Menerusi perutusan rasmi sempena Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-47 yang berlangsung di sini dari 16 hingga 22 November 2026, baginda menzahirkan penghargaan kepada Kongres Filipina atas penganjuran persidangan yang menghimpunkan ahli-ahli parlimen dari seluruh rantau ini.
Baginda bertitah, tema perhimpunan kali ini, "Parliaments Securing a Peaceful, Prosperous and People-Centred ASEAN", amat bertepatan ketika rantau ini memulakan pelaksanaan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Menurut baginda, institusi parlimen memainkan peranan kritikal sebagai wakil langsung rakyat dalam menghubungkan strategi serantau dengan komuniti tempatan, sekali gus menterjemah inisiatif ASEAN ke dalam penggubalan undang-undang dan keutamaan di peringkat negara.
"Brunei Darussalam sentiasa meletakkan kepentingan tinggi terhadap keamanan, persahabatan dan kerjasama. Ketika konflik serta perbezaan terus menjejaskan banyak bahagian dunia, ASEAN mesti kekal bersatu dan terus mempromosikan dialog, sikap saling menghormati serta menyokong multilateralisme dan undang-undang antarabangsa," titah baginda.
Baginda turut menggariskan keperluan memastikan kemajuan serantau dilaksanakan secara mampan bagi menangani cabaran saling berkait melibatkan perubahan iklim, keterjaminan makanan dan daya tahan tenaga. Pertumbuhan ekonomi, tegas baginda, perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan insan demi melindungi generasi masa hadapan.
Selain itu, baginda menyambut baik keterlibatan berterusan antara ASEAN dan AIPA termasuk menerusi Sesi Libat Urus Pemimpin ASEAN bersama AIPA yang disifatkan penting bagi menyelaraskan matlamat bersama menjelang tahun 2045.
Menutup perutusan, baginda menzahirkan keyakinan bahawa perbincangan sepanjang persidangan itu akan memperkukuh kerjasama dalam kalangan AIPA serta perkongsiannya dengan ASEAN demi merealisasikan komuniti serantau yang bersatu, makmur dan berpaksikan rakyat.





