PUTRAJAYA, 18 Nov — Harga runcit produk petroleum tanpa subsidi di pasaran tempatan terus mencatatkan penurunan bagi tempoh seminggu bermula esok, 19 November hingga 25 November 2026.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97 menurun sebanyak 20 sen kepada RM4.00 seliter berbanding RM4.20 seliter sebelum ini.
Pada masa sama, harga runcit RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun sebanyak 15 sen seliter, menjadikan harga baharu RON95 pada paras RM3.72 seliter manakala diesel RM4.72 seliter.
Menurut kementerian itu, penurunan tersebut adalah seiring dengan penyederhanaan harga minyak mentah dunia serta penurunan harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau.
Bagaimanapun, Kerajaan MADANI kekal komited melindungi rakyat dan perniagaan daripada ketidaktentuan harga pasaran melalui pelaksanaan subsidi bersasar BUDI MADANI dengan peruntukan hampir RM40 bilion disediakan bagi tahun hadapan.
Menerusi inisiatif BUDI95, rakyat Malaysia yang layak terus menikmati harga petrol RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter menggunakan MyKad, dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.73 seliter atau 47 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Bagi BUDI Diesel pula, penerima yang layak kekal membayar pada harga RM2.10 seliter dengan tanggungan subsidi kerajaan sebanyak RM2.62 seliter (56 peratus), manakala harga di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) masing-masing dikekalkan pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.
Kerajaan menegaskan akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi serta terjamin.





