CYBERJAYA, 19 Nov — Orang ramai disarankan supaya mengemas kini sistem operasi telefon pintar masing-masing sebagai persediaan bagi menerima amaran kecemasan menerusi pelaksanaan Sistem Amaran Awal (EWS) yang sedang digerakkan secara berfasa.

Gambar hiasan AI
Sistem berkenaan menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang berupaya menghantar mesej amaran kecemasan secara serentak kepada peranti yang serasi di kawasan tertentu, tanpa memerlukan pengguna memuat turun sebarang aplikasi, mendaftar atau melanggan perkhidmatan.
Menurut panduan awal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), keperluan minimum bagi peranti yang menyokong penerimaan amaran EWS merangkumi model iPhone 11 dan ke atas yang menggunakan sistem operasi iOS 27.2 ke atas.
Bagi pengguna peranti Android pula, keperluan minimum yang ditetapkan adalah sistem operasi Android 12 ke atas, manakala peranti Huawei memerlukan versi EMUI 16 ke atas.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan mengambil tiga langkah persediaan iaitu mengemas kini sistem operasi telefon kepada versi terkini yang tersedia, memulakan semula peranti selepas proses kemas kini selesai, serta memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan sekiranya berkenaan.
Dalam pada itu, MCMC menjelaskan bahawa demonstrasi dan ujian yang dijalankan pada hari ini hanya melibatkan ujian teknikal dalaman di bangunan MCMC, Cyberjaya, dan bukannya ujian amaran kecemasan secara meluas kepada orang ramai.
Suruhanjaya itu memaklumkan bahawa ujian pada skala lebih luas akan dilaksanakan secara berfasa dari semasa ke semasa.
Pelaksanaan EWS bertujuan mempercepat penyampaian amaran kecemasan kepada penduduk di kawasan berisiko, sekali gus membantu masyarakat mengambil langkah keselamatan dengan lebih awal.
Orang ramai turut diingatkan agar sentiasa peka terhadap maklumat rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima sebarang amaran kecemasan.





