KUCHING: Pengamal media memikul tanggungjawab besar dalam menyampaikan maklumat tepat serta membentuk persepsi positif terhadap Sarawak, terutama ketika berdepan lambakan berita palsu dan maklumat mengelirukan di media sosial.

IMG_2591

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian menyampaikan ucapan pada majlis MBKS Media Night di Kuching, pada Khamis. – Foto UKAS / George

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian menegaskan bahawa profesionalisme, ketepatan fakta dan keberanian mempertahankan kebenaran perlu terus menjadi pegangan utama dalam setiap pelaporan.

"Dalam era pembinaan Sarawak, kita perlu terus menyampaikan kebenaran, berani mempertahankan kebenaran dan melaksanakan tanggungjawab itu demi Sarawak," katanya ketika berucap pada majlis MBKS Media Night di sini, pada Khamis.

Beliau menjelaskan, kemajuan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI) telah mengubah landskap media masa kini. Sesiapa sahaja kini mampu menghasilkan dan menyebarkan maklumat dengan pantas, sekali gus menjadikan usaha menentusahkan kesahihan berita semakin mencabar.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengamal media konvensional mahupun pengguna media sosial supaya memanfaatkan platform masing-masing untuk menyebarkan nilai positif, memperkukuh perpaduan serta mengetengahkan kisah kejayaan negeri.

Langkah ini jauh lebih bermakna berbanding budaya merendahkan pihak lain, melakukan serangan peribadi atau menyebarkan maklumat tidak benar.

Tambahnya, pembinaan masa depan Sarawak yang lebih baik menuntut masyarakat yang bersatu padu, saling menghormati dan berbangga dengan identiti sendiri, disokong oleh naratif media yang bertanggungjawab.

Majlis tersebut turut dihadiri Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.