BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov — Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijadualkan berangkat ke Manila, Republik Filipina bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan pada 15 hingga 17 November 2026.

IMG_1893

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen bergambar kenangan bersama Presiden Republik Filipina, Ferdinand Marcos Jr. dan Wanita Pertama, Louise Araneta-Marcos sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2026 di Filipina - Kredit Foto: JPM / Infofoto

Selesai persidangan di Manila, Baginda seterusnya akan berangkat ke Shenzhen, Guangdong, Republik Rakyat China bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC Ke-33 (AELM) yang berlangsung pada 18 hingga 19 November 2026.

Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026 mengangkat tema “Navigating Our Future, Together” dengan memberi tumpuan kepada tiga keutamaan strategik, iaitu keamanan dan keselamatan, kemakmuran serta pemerkasaan rakyat.

Terdahulu, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 telah meluluskan Protokol Cebu bagi meminda Piagam ASEAN, sekali gus mengiktiraf status Timor-Leste sebagai negara anggota rasmi ASEAN yang merupakan pindaan pertama Piagam ASEAN sejak mula berkuat kuasa pada tahun 2008.

Sementara itu, Republik Rakyat China yang menjadi tuan rumah bagi APEC 2026 membawa tema “Building an Asia-Pacific Community to Prosper Together”, berteraskan tiga keutamaan utama iaitu keterbukaan, inovasi dan kerjasama.

Untuk rekod, APEC yang ditubuhkan pada tahun 1989 bersama 12 ekonomi pengasas termasuk Negara Brunei Darussalam kini dianggotai oleh 21 ekonomi anggota bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi mampan serta memperkukuh kerjasama dan integrasi ekonomi serantau.