
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus (kanan) mengarahkan semua pegawai dan anggota Kontinjen Kuala Lumpur meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta bersedia menggunakan senjata api sekiranya berdepan ancaman keselamatan, susulan insiden seorang anggota polis cedera parah ditetak di Gombak (kiri) - Foto AWANI
KUALA LUMPUR, 12 Nov — Semua pegawai dan anggota di bawah Kontinjen Kuala Lumpur diarah meningkatkan tahap kesiapsiagaan ke paras tertinggi, termasuk bersedia menggunakan senjata api sekiranya berdepan ancaman terhadap keselamatan diri ketika bertugas.
Arahan tegas itu dikeluarkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menerusi satu rakaman suara yang ditujukan kepada seluruh warga kerja kontinjen berkenaan, hari ini.
Menerusi rakaman tersebut, beliau menegaskan agar setiap anggota sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan tidak sesekali mengambil mudah sebarang situasi berisiko semasa menjalankan tugas di lapangan.
Sebaliknya, setiap anggota perlu memastikan latihan serta pengetahuan berkaitan prosedur keselamatan sentiasa berada pada tahap terbaik bagi menghadapi pelbagai kemungkinan luar jangka.
"URB (Unit Rondaan Bermotosikal), detektif, MPV (Cawangan Kereta Peronda), sesiapa sahaja di barisan hadapan, saya tidak mahu kejadian yang berlaku di Gombak kena anggota saya di bahagian hadapan. Pastikan seperti mana saya cakap, perlu bersedia.
"Keluarkan senjata api dan bersedia tembak. Ada keraguan, tembak. Ada kerisauan dan ancaman, tembak. Jangan tunggu tangan putus baru hendak menyesal," tegasnya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan insiden berdarah di Desa Aman Puri, Gombak pada Rabu, yang menyaksikan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera parah selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya terputus.
Kejadian menyayat hati tersebut sekali gus mencetuskan perhatian serius terhadap aspek keselamatan petugas barisan hadapan ketika mengendalikan operasi berisiko tinggi.
Sehubungan itu, Fadil turut mengarahkan pegawai yang bertugas di Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) memastikan arahan berkenaan disampaikan kepada semua bahagian serta elemen operasi agar langkah kesiapsiagaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.





