Di sebalik berita kejayaan pembedahan menyambungkan semula pergelangan tangan kanan Lans Koperal Thierry Rodger yang putus ditetak di Kepong semalam, ramai mungkin terlepas pandang tentang wira-wira tidak didendang di sebalik pintu dewan bedah Hospital Kuala Lumpur (HKL).

IMG_1882

Dr. Allan Ravi Rajagopal, Pakar Perunding Ortopedik, Anggota Atas dan Mikrosurgeri Hospital Kuala Lumpur (HKL)

Syukur, prosedur penyambungan semula anggota tersebut berjaya dilaksanakan. Namun, kejayaan ini tidak datang dengan mudah. Ia adalah hasil keringat dan fokus tajam sekumpulan pakar bedah yang berjuang berjam-jam demi mengembalikan fungsi anggota tubuh seorang anggota keselamatan negara.

Misi kritikal ini diketuai oleh Dr. Allan Ravi Rajagopal bersama Dr. Aziz Sabbir Husain, kedua-duanya merupakan pakar dalam bidang ortopedik, anggota atas, dan mikrosurgeri.

Bukan calang-calang kepakaran yang dibawa. Dr. Allan sendiri memiliki kelayakan sub-kepakaran lanjutan dalam pembedahan anggota atas dan mikrosurgeri, termasuk pendedahan serta latihan klinikal di Jepun dan Perancis.

Bayangkan, pembedahan tersebut memakan masa sekitar 8 jam tanpa henti.

Di bawah lensa mikroskop pembedahan, setiap urat saraf, salur darah halus, dan tisu penting perlu dicantumkan semula dengan ketepatan yang tidak membenarkan walau sedikit kesilapan.

Satu silap langkah boleh menjejaskan keseluruhan fungsi tangan tersebut. Ia menuntut ketahanan mental, kesabaran luar biasa, dan keserasian pasukan yang jitu.

Wajar kita kenali dan beri penghormatan kepada barisan pasukan Ortopedik Tangan dan Mikrosurgeri HKL yang menjayakan prosedur ini:

  • Dr. Allan Ravi Rajagopal
  • Dr. Aziz Sabbir Husain
  • Dr. Jude
  • Dr. Jegenantha
  • Dr. Vimalan
  • Dr. Noordanial
  • Dr. Zakwan
  • Dr. Iman

Ketika anggota polis mempertaruhkan nyawa di lapangan demi ketenteraman awam, para doktor, jururawat, dan petugas kesihatan inilah barisan pertahanan kedua yang bertarung nyawa di dewan bedah demi menyelamatkan mereka.

Setinggi-tinggi penghargaan buat Dr. Allan, seluruh pasukan bedah, dan warga HKL atas dedikasi luar biasa ini.

Didoakan agar Lans Koperal Thierry dikurniakan kesembuhan yang sempurna dan dipermudahkan segala fasa pemulihannya selepas ini.