SIBU, 12 Nov — Anggota polis berpangkat Lans Koperal yang cedera parah selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan dua bilah parang di Desa Aman Puri, Kepong, semalam disahkan berasal dari Sibu, Sarawak.
Perkembangan mengenai latar belakang anggota berusia 26 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu mengundang rasa sebak serta gelombang doa daripada rakyat Sarawak yang mendoakan kesembuhannya.
Dalam kejadian pada 11 November itu, mangsa bersama sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bergegas ke sebuah premis kediaman susulan laporan orang awam mengenai seorang lelaki yang sedang mengamuk.
Sebaik pintu kediaman dibuka, suspek bertindak ganas melibas dua bilah parang ke arah pasukan penyelamat sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanan mangsa terputus, selain turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan.
Suspek yang bertindak melarikan diri selepas serangan itu berjaya dikesan semula oleh pihak berkuasa berhampiran sebuah taman permainan.
Bagaimanapun, suspek sekali lagi cuba menyerang anggota polis dengan senjata tajam ketika tangkapan hendak dilakukan, memaksa tembakan dilepaskan bagi tujuan mempertahankan diri. Suspek disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani prosedur pembedahan penyambungan semula tangan kanannya.
Pengorbanan dan keberanian anak jati Sarawak itu dalam mempertaruhkan nyawa demi menjamin keselamatan awam terus mendapat pujian serta penghargaan meluas daripada masyarakat.





