KUALA LUMPUR, 12 Nov — Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail mengadakan lawatan kebajikan bagi menziarahi Lans Koperal Theirry Rodger Fendy di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail menziarahi Lans Koperal Theirry Rodger Fendy yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini - Kredit Foto: PDRM (Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan & Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar)
Lawatan tersebut bertujuan meninjau tahap kesihatan terkini anggota berusia 26 tahun itu selepas mengalami kecederaan parah dalam insiden serangan bersenjatakan parang di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong, Selangor, semalam.
Mangsa yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dilaporkan putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak seorang lelaki warga asing ketika menjalankan tugas.
Terdahulu, beliau menerima rawatan kecemasan awal di Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke HKL bagi menjalani prosedur pembedahan dalam usaha menyambung semula pergelangan tangan kanannya.
Dalam pertemuan tersebut, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid menzahirkan rasa simpati serta keprihatinan mendalam terhadap nasib yang menimpa anggota berkenaan, di samping menitipkan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada beliau serta ahli keluarga.
Turut hadir mengiringi lawatan itu ialah Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar; Timbalan Pengarah Kepolisan Am/Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, DCP Datuk Suryani Sungit; serta Setiausaha Polis Malaysia, DCP Mohammad Mashdik Yahya.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, SAC Sazalee Hj. Adam; Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Hj. Ahmad Azwan Hj. Amin Nordin; dan Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ibrahim Husin.





