KUCHING, 16 Nov — Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang tular di media sosial selepas mengamuk dan mencederakan gurunya menggunakan sebilah kapak pada 21 Oktober lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan.

Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial memaparkan insiden seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun menyerang seorang guru wanita menggunakan kapak kecil di dalam bilik darjah sebuah sekolah menengah swasta di Kuching pada 21 Oktober lalu - Kredit Foto: Media Sosial
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pesalah kanak-kanak tersebut sebaik sahaja kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Mahkamah kemudian memerintahkan pelajar tingkatan empat berkenaan dihantar ke Hospital Sentosa Kuching selama satu bulan bagi menjalani pemantauan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah, selain menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membawa senjata berjadual iaitu sebilah kapak kecil ke dalam bilik darjah yang merupakan kesalahan di bawah Butiran 7 Jadual Kedua Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) serta boleh dihukum di bawah Seksyen 7(1)(a) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun.
Bagi pertuduhan kedua, remaja itu didakwa sengaja mencederakan seorang guru wanita berusia 42 tahun menggunakan sebilah kapak kecil mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki bahan letupan berupa mercun dan bekas minuman yang diubah suai menjadi bahan letupan sehingga menimbulkan syak wasangka munasabah.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik darjah di sebuah sekolah menengah swasta di sini sekitar jam 7.50 pagi pada 21 Oktober lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Raja Zaizul Faridah bersama Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nur Nisla Abdul Latif dan DPP Abdurrahman Abrar, manakala tertuduh diwakili peguam Wejok Tomik.
Terdahulu, insiden berkenaan menggemparkan negara selepas rakaman video seorang pelajar menyerang gurunya menggunakan kapak di dalam bilik darjah tular di media sosial, mengakibatkan mangsa cedera di tangan kiri sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Pihak polis sebelum ini turut memaklumkan bahawa seramai 38 orang saksi telah dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan kes terbabit.





