
Pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Hans Isaac bersama ratu cantik kelahiran Kuching, Francisca Luhong James berkongsi momen bahagia memperlihatkan cincin pertunangan mereka berlatarbelakangkan Menara Eiffel di Paris, Perancis menerusi hantaran di Instagram, hari ini - Kredit Foto: Instagram Datuk Hans Isaac
KUCHING, 16 Nov — Pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Hans Isaac mengumumkan berita gembira apabila selamat mengikat tali pertunangan dengan ratu cantik kelahiran Kuching, Francisca Luhong James.
Perkhabaran manis itu dikongsikan sendiri oleh Hans menerusi hantaran di laman Instagram miliknya hari ini dengan memuat naik beberapa keping foto bersama Francisca, termasuk gambar yang memperlihatkan cincin pertunangan berlatarbelakangkan Menara Eiffel di Paris, Perancis.

Pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Hans Isaac bersama ratu cantik kelahiran Kuching, Francisca Luhong James bergambar mesra sambil memperlihatkan cincin pertunangan mereka menerusi perkongsian di Instagram, hari ini - Kredit Foto: Instagram Datuk Hans Isaac
Menerusi kapsyen hantaran tersebut, Hans, 55, meluahkan rasa syukur dan gembira apabila wanita pilihannya itu sudi menerima lamaran untuk menjadi teman hidupnya.
Beliau turut menyifatkan langkah melamar Francisca sebagai keputusan terbaik yang pernah dibuatnya, selain menggelar wanita berkenaan sebagai insan kegemarannya.
Dalam pada itu, Hans sempat berseloroh bahawa selepas ini para peminat tidak perlu lagi bertanyakan soalan mengenai bilakah beliau akan menamatkan zaman bujangnya.
Francisca, 31, yang merupakan anak jati Kuching pernah dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2020 dan membawa cabaran negara ke pentas pertandingan Miss Universe 2020 di Florida, Amerika Syarikat pada Mei 2021.
Beliau sebelum ini mencipta sejarah tersendiri sebagai wanita Dayak pertama memenangi gelaran berprestij Miss Universe Malaysia, serta memiliki latar belakang keturunan Kayan, Kenyah dan Iban.
Pengumuman pertunangan pasangan itu segera mencuri perhatian rakan selebriti serta peminat yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah dan doa yang baik buat mereka.
Bagaimanapun, Hans dan Francisca masih belum berkongsi butiran lanjut mengenai tarikh mahupun perancangan majlis perkahwinan mereka.





