KUCHING | 20 November 2026 - Pembukaan Jambatan Sejingkat menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi kawasan pesisir Sarawak apabila memperkukuh jaringan perhubungan antara Kuching dan Samarahan, sekali gus memperluas akses ke Sebuyau, Sri Aman dan Betong.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyempurnakan gimik perasmian Jambatan Sejingkat di Kuching, pada Jumaat. – Foto UKAS
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembinaan jambatan itu merupakan langkah strategik kerajaan negeri untuk meningkatkan kesalinghubungan kawasan pesisir, memudahkan pergerakan penduduk serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Menurut beliau, pembangunan rangkaian jalan raya termasuk Jalan Utama Kedua membolehkan kawasan yang sebelum ini terpisah oleh sungai dihubungkan dengan lebih lancar.
"Kita membangunkan Jambatan Sejingkat sebagai usaha merapatkan kawasan Samarahan dengan kita di seberang sungai ini. Keduanya, dari Samarahan, kita boleh terus memandu hingga ke Sebuyau dan melalui 'Second Trunk Road' yang sedang dibina, kita boleh ke Lingga.
"Dari Lingga pula, perjalanan boleh diteruskan ke Betong melalui Simanggang yang kini hanya mengambil masa 20 minit. Ini bermakna kita merapatkan kawasan - kawasan pesisir yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Sejingkat di sini, pada Jumaat.
Abang Zohari menambah, jaringan infrastruktur berkenaan turut membuka peluang ekonomi baharu apabila kawasan yang sukar dihubungi sebelum ini mendapat akses terus kepada pasaran dan pembeli.
Beliau mengambil contoh sektor perikanan di Sebuyau yang kini menikmati kemudahan perhubungan lebih cekap, sekali gus berpotensi meningkatkan pendapatan komuniti nelayan setempat.
Jambatan Sejingkat sepanjang 1,281.2 meter itu merupakan sebahagian daripada projek Pakej D3A: Cadangan Jalan Utama Kedua Kuching–Samarahan (Jambatan Merentasi Sungai Sarawak di Sejingkat) seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan nilai kontrak RM365.74 juta.
Menghubungkan Sejingkat dengan Tanjung Bako, jambatan ini berfungsi sebagai laluan alternatif yang dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Kuching–Samarahan, terutamanya pada waktu puncak.
Dari sudut kejuruteraan, struktur kabel penahan (cable-stayed) itu mempunyai tiga rentang utama masing-masing sepanjang 200 meter, 400 meter dan 200 meter, selain menyediakan laluan navigasi sungai selebar 200 meter dengan kelegaan menegak 26 meter bagi kelancaran pengangkutan air.
Majlis perasmian itu turut dihadiri anak Premier Sarawak, Dayang Norjihan; Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; barisan Menteri Kabinet Sarawak serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Dato Baduyah Bujang.





