KUCHING | 20 November 2026 - Langit malam Kuching bertukar menjadi pentas cahaya apabila 1,000 dron membentuk pelbagai formasi menarik termasuk tulisan ‘Thank You Abang Jo’ sempena Majlis Perasmian Jambatan Sejingkat, pada Jumaat.
Persembahan berskala besar itu menjadi antara tarikan utama sambutan menerusi pergerakan serentak ribuan titik cahaya di ruang udara, berlatarbelakangkan mercu tanda infrastruktur baharu Sarawak tersebut.
Susunan dron yang membentuk mesej penghargaan ‘Thank You Abang Jo’ jelas kelihatan di langit malam, sekali gus mencuri tumpuan orang ramai yang hadir menyaksikan acara berkenaan.
Kemeriahan sambutan diteruskan dengan pertunjukan bunga api sejurus persembahan dron berakhir, melengkapkan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Jambatan Sejingkat sepanjang 1.281 kilometer yang dibina dengan kos RM365.74 juta itu menghubungkan Sejingkat dengan Tanjung Bako, sekali gus menyediakan laluan alternatif penting antara Kuching dan Samarahan.
Dari segi struktur, jambatan empat lorong dua hala itu menggunakan reka bentuk kabel penahan dengan menara konkrit setinggi 119 meter yang turut diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai menara konkrit berbentuk berlian dalam satah tertinggi di Malaysia.





