LAWAS, 11 Nov — Pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Trusan di Daerah Lawas dilaporkan kembali pulih susulan kerja-kerja pembersihan mendapan pasir dan longgokan tanah di stesen muka sauk yang telah selesai dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut kenyataan dikeluarkan Rakan JBALB Bahagian Limbang hari ini, pembersihan tersebut berjaya memulihkan operasi loji ke tahap sediakala sekali gus meningkatkan kadar pengeluaran air terawat sebelum diagihkan ke Tangki Aras Tinggi (HLT) Trusan.

Bagi memastikan kestabilan tekanan dan kelancaran aliran air ke premis pengguna, pihak teknikal kini sedang giat menjalankan operasi membuang poket udara (airlock) di dalam rangkaian paip utama.

Pihak agensi menyasarkan lebih banyak kawasan penempatan yang sebelum ini mengalami gangguan bekalan akan pulih secara berperingkat sepanjang hari ini.

Sebarang perkembangan status agihan air bersih berkenaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi platform rasmi Facebook JBALB Sarawak dan Facebook Rakan JBALB Bahagian Limbang.

Para pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan berhubung gangguan utiliti itu boleh menghubungi Pusat Panggilan JBALB di talian 082-262211.