IMG_1970


KUCHING, 14 Nov — Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap sebarang cubaan penyamaran serta penipuan (scam) yang menggunakan identiti anggota perkhidmatan awam Sarawak bagi tujuan memperdaya serta membuat tempahan melalui aplikasi WhatsApp.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Premier Sarawak (Unit Pentadbiran) hari ini, pihaknya menerima maklumat terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan identiti penjawat awam negeri serta alamat Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak untuk membuat tempahan barang pejabat dan tempahan makanan (katering) menggunakan Service Order palsu.

Pejabat itu menegaskan pihaknya memandang serius perbuatan memalsukan dokumen rasmi serta menyalahgunakan nama dan identiti anggota perkhidmatan awam Sarawak kerana ia boleh menjejaskan reputasi institusi selain mengelirukan orang ramai serta pihak berkepentingan.

"Pejabat ini juga tidak berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan dan penipuan identiti rasmi Kerajaan Sarawak," tegas kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat berkenaan perkara tersebut bagi membolehkan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.

Justeru, orang ramai khususnya para peniaga dan pembekal digesa supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pihak yang membuat tempahan secara besar-besaran tanpa pengesahan sah.

Sekiranya menerima panggilan telefon, e-mel mahupun mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang meragukan, orang ramai boleh menghubungi talian rasmi pejabat di 082-441957 bagi mendapatkan pengesahan dan maklumat yang tepat.