PETALING JAYA, 11 Nov — Satu penanda lokasi baharu berlabel ‘Jabatan Penjara Malaysia – Cawangan Duta’ dikesan muncul di dalam aplikasi pemetaan Google Maps di kawasan kediaman mewah Taman Duta, Kuala Lumpur.

IMG_1752

Tangkap layar aplikasi Google Maps (kiri) yang memaparkan penanda lokasi berlabel ‘Jabatan Penjara Malaysia – Cawangan Duta’ tepat di alamat kediaman persendirian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Duta, Kuala Lumpur (kanan).

Berdasarkan paparan pada aplikasi penavigasi berkenaan, lokasi tersebut dikategorikan sebagai institusi penjara beralamat di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, dengan status waktu operasi memaparkan ‘beroperasi 24 jam’.

Kemunculan label lokasi satira atau suntingan pengguna peta digital itu dipercayai berkait rapat dengan alamat kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mula menjalani perintah tahanan rumah bermula malam tadi.

Carian menggunakan kata kunci ‘penjara langgak duta’ turut memaparkan penanda lokasi merah berkenaan, sekali gus tular serta menarik perhatian warga maya di media sosial.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes membabitkan SRC International Sdn. Bhd. secara tahanan rumah berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas membatalkan perintah terdahulu bertarikh 6 November lalu, bagi menggantikannya dengan ketetapan baharu yang selaras dengan pengampunan bersyarat.

Menerusi perintah mahkamah tersebut, beliau dibenarkan menjalani baki hukuman penjara yang telah dipendekkan kepada tempoh enam tahun di kediamannya sehingga 23 Ogos 2028.

Mengikut jadual kehakiman yang ditetapkan, Najib perlu kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 bagi menjalani hukuman berasingan membabitkan sabitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib dilaporkan tiba di kediaman persendiriannya di Langgak Duta sekitar jam 9.27 malam semalam dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak sambil diiringi konvoi kawalan ketat Jabatan Penjara Malaysia.