KUALA LUMPUR, 11 Nov — Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan dua bilah parang dalam kejadian amuk di sebuah premis kediaman di Desa Aman Puri, Kepong, petang tadi.
IMG_1788

Suspek yang cuba menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang semasa tangkapan dibuat terpaksa ditembak bagi tujuan mempertahankan diri, sebelum disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar jam 4.00 petang berhubung seorang lelaki yang berada dalam keadaan tidak stabil dan bertindak agresif.

Susulan aduan berkenaan, sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM) bergegas ke lokasi kejadian bagi mengawal situasi.

“Sebaik pintu kediaman tersebut dibuka, suspek terus bertindak ganas menyerang anggota polis dengan menghayunkan dua bilah parang.

“Serangan itu menyebabkan seorang anggota polis lelaki Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berusia 26 tahun putus pergelangan tangan kanan, selain turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan,” katanya pada sidang media di Hospital Selayang, malam ini.

Beliau menambah, beberapa anggota bomba dan petugas KKM yang berada di tempat kejadian turut mengalami kecederaan ringan akibat serangan tersebut.

Suspek dilaporkan melarikan diri sejurus kejadian sebelum berjaya dikesan pihak berkuasa di kawasan taman permainan berhampiran sekitar jam 8.00 malam.

Menurut Shazeli, ketika cubaan menangkap dilakukan, suspek sekali lagi bertindak agresif menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang sehingga memaksa beberapa das tembakan dilepaskan bagi tujuan mempertahankan diri. Suspek disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital untuk menerima rawatan.

Sementara itu, anggota polis yang parah pada mulanya dikejarkan ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan penyambungan semula tangan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.