BRUNEI, 17 NOVEMBER 2026 - Seramai 20 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan serta wakil Jawatankuasa Perhubungan Awam Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan (JPAKK & JJK) telah menyertai Kursus Fotografi (Asas dan Lanjutan) selama dua hari bermula 11 hingga 12 November lalu di Bilik Latihan, Jabatan Penerangan.

Pemangku Pengarah Penerangan, Yang Mulia Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama barisan tenaga pengajar BERNAMA serta para peserta yang menerima sijil tamat Kursus Fotografi (Asas dan Lanjutan) di Bilik Latihan, Jabatan Penerangan - Kredit Foto: Jabatan Penerangan
Kursus berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Ketua Fotografi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Yang Mulia Shahrizan bin Jefferi Aziz bersama Jurufotografi BERNAMA, Yang Mulia Mohd Faizol bin Ab Aziz.
Penganjuran kursus tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran para peserta dalam bidang fotografi digital, merangkumi teknik pengendalian kamera, komposisi gambar, pencahayaan serta fotografi bagi liputan acara rasmi.
Selain itu, peserta turut didedahkan dengan teknik penyuntingan foto digital serta kaedah penulisan kapsyen yang berkesan dan berkualiti, selaras dengan etika kewartawanan serta standard profesional industri media semasa.
Majlis Penyampaian Sijil kursus itu disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Yang Mulia Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini, dan disaksikan oleh Pengurus Pusat Kecemerlangan BERNAMA, Yang Mulia Ridzuan bin Mohd Ghazali selaku Urus Setia Kursus Fotografi.
Kursus tersebut dikelolakan oleh Unit Penyelidikan dan Perkembangan, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Penerangan dengan kerjasama BERNAMA sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuhkan kompetensi pegawai dan kakitangan kerajaan dalam bidang fotografi, komunikasi korporat serta penyampaian maklumat rasmi yang berkesan.





