KUCHING, 16 Nov — Sarawak berpotensi besar untuk muncul sebagai antara destinasi pilihan industri e-sukan di rantau ini dengan memanfaatkan kerjasama antarabangsa, pembangunan bakat tempatan serta peluang pelaburan dalam sektor berkenaan.

IMG_2178

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Khairul Nizam Morshidi berucap pada Majlis Penutupan Ekspo E-Sukan Sarawak 2026 (SAREX 26) di Kuching, semalam - Kredit Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) / Mia Amira Jalil

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Khairul Nizam Morshidi berkata, negeri ini sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan organisasi antarabangsa bagi meneroka potensi industri e-sukan serta bidang berkaitan.

Menurut beliau, penganjuran Ekspo E-Sukan Sarawak 2026 (SAREX 26) bukan sahaja memberi ruang kepada para pemain untuk mempamerkan kebolehan masing-masing, malah menjadi platform penting untuk menghubungkan Sarawak dengan pemain industri dari peringkat antarabangsa.

“Sarawak sentiasa membuka peluang untuk bekerjasama. Sekiranya terdapat peluang dalam bidang e-sukan, permainan digital, teknologi, animasi, kandungan digital, pelancongan mahupun industri sukan secara lebih luas, kita mengalu-alukan perbincangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Ekspo E-Sukan Sarawak 2026 (SAREX 26) di sini, semalam.

Jelas beliau, hubungan dan jaringan strategik yang terjalin sepanjang ekspo berkenaan perlu terus diperkukuh agar dapat membuka lebih banyak peluang kepada syarikat serta bakat tempatan untuk menembusi pasaran dan industri global.

Majlis tersebut turut menyaksikan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi lima kategori utama yang dipertandingkan, iaitu Assetto Corsa, Tekken 8, eFootball, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PUBG.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sarawak (SESA), Afiq Fadhli Narawi; Setiausaha Agung International Esports Federation (IESF), Boban Totovski serta Pengurus Kanan (Sarawak dan Sabah) Pejabat Ekonomi Digital Negeri (MDEC), Awang Safri Awang Ahmad.