SELANGOR, 16 Nov — Pasukan robotik Sarawak mencatat pencapaian membanggakan pada Pertandingan Robotik Terbuka Kebangsaan (NROC) 2026 apabila berjaya meraih tujuh kedudukan lima terbaik serta lima lagi kedudukan dalam kelompok 10 terbaik kebangsaan menerusi pelbagai kategori yang dipertandingkan.

IMG_2185

Sebahagian kontinjen pasukan robotik Sarawak meraikan kejayaan sambil mengibarkan bendera Sarawak selepas meraih pencapaian cemerlang pada Pertandingan Robotik Terbuka Kebangsaan (NROC) 2026 di Universiti SEGi, Selangor - Kredit Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Kejayaan cemerlang pada kejohanan yang berlangsung di Universiti SEGi dari 14 hingga 15 November itu sekali gus membuka peluang kepada tujuh pasukan dari Sarawak untuk mewakili Malaysia pada World Robot Olympiad (WRO) 2027.

Antara pencapaian paling menyerlah disumbangkan oleh Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak (IPGKS), Miri yang merangkul tempat kedua, ketiga dan keempat dalam kategori RoboMission Rookie (Upper) Institusi Awam, membuktikan keupayaan tinggi bakal pendidik dalam bidang robotik.

Turut mengharumkan nama negeri ialah Sekolah Menengah Riam Road yang meraih tempat kedua dalam kategori RoboMission Rookie (Upper) Institusi Swasta, manakala SMK Chung Hua Miri menduduki tempat ketiga bagi kategori RoboSports Institusi Swasta.

Sementara itu, Riam Hill International Secondary School berjaya meraih tempat keempat dalam kategori RoboMission Rookie (Upper) Institusi Swasta, diikuti Borneo International School yang menduduki tempat kelima dalam kategori RoboMission Rookie (Lower) Institusi Swasta.

Kontinjen Sarawak turut meraih lima lagi kedudukan dalam kelompok 10 terbaik kebangsaan menerusi penyertaan SMK Chung Hua Miri, SMK Marudi, Sekolah Menengah Pei Min serta SJKC Chung Hua Pujut.

Selain itu, penglibatan institusi pendidikan lain termasuk SJKC Chung Hua Miri, SJKC Chung San Miri dan SJKC Chung Hua Krokop turut mencerminkan perkembangan pesat bakat robotik di Sarawak merangkumi peringkat pendidikan rendah, menengah dan latihan perguruan.

Kejayaan tersebut merupakan hasil komitmen padu para pelajar, guru, jurulatih, institusi pendidikan serta ibu bapa, di samping sokongan berterusan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dalam memperkasakan bidang robotik serta pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pencapaian itu membuktikan keupayaan Sarawak bukan sahaja dalam melahirkan pasukan robotik yang berdaya saing, malah membangunkan generasi inovator, jurutera dan pendidik STEM masa hadapan.

Kejayaan pada NROC 2026 itu juga menjadi pemangkin penting kepada persiapan Sarawak selaku tuan rumah World Robot Olympiad (WRO) Open Championship Asia-Pacific 2027 di Kuching, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini dalam arena robotik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.