Ketika mereka menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) secara rasmi pada April 2024 susulan pembubaran Parti Sarawak Bersatu (PSB), trio pemimpin kanan Dato Sri Wong Soon Koh, Dr Johnical Rayong Ngipa dan Baru Bian sering dilihat bergerak dalam satu haluan.

IMG_3244

Naib Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) merangkap penyandang kerusi DUN Ba’kelalan, Baru Bian menegaskan beliau kekal bersama parti itu dan tiada hasrat meletakkan jawatan. 

Namun menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, haluan politik mereka mula berbeza.

Susulan tindakan Wong dan Rayong meletakkan jawatan serta melepaskan semua pelantikan dalam PDP baru-baru ini, timbul tanda tanya sama ada Baru Bian akan mengambil langkah serupa.

Hari ini, Naib Presiden PDP itu menoktahkan segala spekulasi tersebut dengan mengesahkan beliau tidak berhasrat meninggalkan parti berkenaan.

“Tidak, saya tidak meletakkan jawatan dan tiada sebab untuk berbuat demikian,” tegas penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan itu.

Fokus Mempertahankan Ba’kelalan

Bagi Baru Bian yang pernah menerajui PKR Sarawak sebelum menyertai PSB pada tahun 2020 dan kemudiannya PDP, perubahan dalam barisan kepimpinan parti bukan alasan untuk beliau beralih arah.

Sebaliknya, keutamaan beliau kini terarah kepada khidmat di peringkat kawasan serta persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk terus mempertahankan kerusi DUN Ba’kelalan sekiranya diberikan kepercayaan semula oleh kepimpinan parti.

Dinamika Berbeza di Bawah Payung GPS

Walaupun memilih langkah berbeza dalam soal keahlian parti, ketiga-tiga bekas pemimpin PSB ini masih berada di bawah kerangka sokongan yang sama di peringkat negeri.

Terdahulu, ketika mengumumkan peletakan jawatan daripada PDP, kedua-dua Wong dan Rayong tetap menyatakan komitmen untuk terus bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta menyokong kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pendirian terbaru Baru Bian ini sekali gus memberi gambaran lebih jelas mengenai kedudukan kerusi-kerusi yang sebelum ini disandang oleh kelompok bekas pemimpin PSB bahawa tidak semua mengambil jalan keluar daripada PDP, dan Ba’kelalan kekal berada di bawah panji parti itu menjelang hari penamaan calon.