KUCHING, 26 Nov: Pembangunan ekonomi golongan belia serta penyediaan kemudahan masyarakat menjadi dua agenda utama yang mahu digerakkan oleh penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki bagi memastikan kemajuan kawasan itu terus selari dengan keperluan penduduk setempat.

Beliau berkata, antara perancangan khusus yang dirangka adalah mewujudkan pusat ekonomi digital dan keusahawanan baharu yang menyediakan ruang pejabat serta kemudahan sokongan buat anak muda memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Menurutnya, inisiatif berkenaan berpotensi dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama agensi berkaitan termasuk Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bagi memperluas penglibatan belia dalam sektor ekonomi digital.
“Kemudahan ini akan menjadi pusat kegiatan perniagaan yang membolehkan golongan muda mendapatkan ruang dan sokongan untuk mengembangkan idea serta perusahaan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.
Dewan Masyarakat di Setiap Kampung dan Projek Tebingan Sungai
Dalam pada itu, Ibrahim Baki yang juga Naib Yang di-Pertua PBB menyuarakan hasrat untuk menyediakan dewan masyarakat di setiap kampung di bawah kawasan Satok khususnya perkampungan yang masih belum memiliki kemudahan tersebut tertakluk kepada ketersediaan tapak tanah yang sesuai.
“Kalau ada kampung yang belum mempunyai dewan masyarakat dan terdapat tanah yang sesuai, insya-Allah kita akan membina dewan masyarakat,” katanya sambil menyifatkan prasarana berkenaan penting sebagai pusat aktiviti penduduk, di samping mengeratkan hubungan kejiranan serta memelihara tradisi masyarakat setempat.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek kebajikan rakyat akan terus diberi keutamaan seiring pelaksanaan projek pembangunan berskala besar termasuk projek tebingan sungai sepanjang 4.8 kilometer sekiranya terus diberi mandat mempertahankan kerusi N.8 Satok pada Pilihan Raya Umum DUN Sarawak Ke-13.





