Kuching, 26 Nov 2026 - Menerima watikah pencalonan di pentas utama bukanlah garis penamat, sebaliknya titik mula kepada tempoh paling mencabar buat mana-mana ahli politik yang mahu meraih mandat rakyat. 

Suasana di Kuching hari ini memperlihatkan keyakinan tinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS), namun di sebalik senyuman dan kibaran bendera, nada peringatan yang dilontarkan Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg cukup jelas dan berlapik makna.

Dalam landskap politik Sarawak yang semakin matang, pengundi hari ini bukan lagi kelompok yang mudah terpesona dengan retorik pentas ceramah atau janji bulan dan bintang.

Abang Johari sendiri sedar akan hakikat itu. Pesanan beliau kepada barisan calon agar tidak terlalu banyak berjanji malah meminta mereka membiarkan pihak lain bercakap terlebih dahulu sebelum membuka mulut sebenarnya mencerminkan pendekatan politik praktikal yang sering menjadi sandaran GPS.

Bagi Abang Johari, kepercayaan parti memberikan watikah bukanlah lesen untuk bergerak sesuka hati. 

Disiplin dan rekod kerja tetap menjadi ukuran, kerana satu kesilapan kecil atau janji yang gagal ditunaikan oleh seorang calon mampu mencalarkan imej keseluruhan gabungan.

Daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, formula pembahagian kerusi GPS kekal berpaksikan kekuatan tradisi setiap komponen: PBB memikul tanggungjawab terbesar dengan 47 kerusi, diikuti SUPP (18), PRS (11) dan PDP (enam).

Komposisi 71 penyandang yang dikekalkan bersama 11 muka baharu termasuk lima calon wanita pula memberi gambaran bahawa gabungan ini cuba mengimbangi antara pengalaman lama dan suntikan tenaga segar.

Namun, tumpuan sebenar sudah tentu terarah kepada 11 muka baharu tersebut.

Turun ke gelanggang pilihan raya buat kali pertama membawa debaran berbeza berbanding sekadar menggerakkan jentera di belakang tabir.

Langkah mengadakan sesi penerangan khas buat kelompok ini menjelang hari penamaan calon pada 28 November nanti adalah tindakan pencegahan yang wajar memastikan tiada calon yang tersandung dek isu teknikal pencalonan atau tergelincir daripada peraturan kempen sebelum sempat berdepan pengundi.

Sasaran untuk menyapu bersih kesemua 82 kerusi memang kedengaran bercita-cita tinggi, tetapi dalam politik Sarawak masa kini, ia bukanlah sesuatu yang mustahil buat GPS. Cuma, musuh paling nyata kepada mana-mana pasukan yang berada di posisi selesa ialah rasa terlalu yakin sehingga alpa pada garis panduan dan sensitiviti akar umbi.

Menjelang hari penamaan calon Sabtu ini dan hari pengundian pada 12 Disember depan, gelanggang sebenar bukan lagi di dewan penyerahan watikah. 

Sejauh mana pesanan Abang Johari itu dihadam, hanya akan terjawab melalui gerak kerja setiap calon di lapangan nanti.

Bersama BNOW untuk mengikuti rapat pemerhatian dan perkembangan semasa PRN 13.