26 November 2026 - Menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 pada 28 November ini, suhu politik di Bumi Kenyalang mula dihangatkan dengan perang mulut yang mencerminkan betapa uniknya percaturan kuasa antara Kuching dengan Putrajaya.

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah - Foto: BERNAMA
Pencetusnya ialah kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen pada 25 November lalu yang menuduh keputusan PKR untuk tidak bertanding sebagai satu bentuk pengorbanan terhadap demokrasi Sarawak kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa akur kepada tekanan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi menjamin sokongan berterusan di peringkat Persekutuan.
Namun, bagi pemerhati politik yang sudah lama mengikuti sepak terajang landskap Sarawak, hujah sedemikian segera mengundang reaksi balas yang tajam daripada Ketua Penerangan GPS, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Bagi Abdul Karim, cubaan menyempitkan makna demokrasi semata-mata kepada jumlah parti yang bertanding adalah satu pandangan yang meleset.
Dalam sistem demokrasi, keputusan untuk masuk ke gelanggang atau memilih untuk tidak meletakkan calon kedua-duanya adalah hak mutlak sesebuah parti.
Tiada siapa yang memegang monopoli untuk menentukan bahawa demokrasi hanya subur jika semua kerusi direbut beramai-ramai.
Realitinya, keputusan parti-parti nasional seperti PKR, UMNO, Amanah dan Bersatu untuk tidak menyertai PRN kali ini bukan berlaku dalam ruang kosong.
Ia lahir daripada pembacaan realistik terhadap sentimen pengundi tempatan yang semakin selesa dengan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada, di samping keperluan menjaga keharmonian hubungan kerja antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Jika sesebuah parti melihat pentadbiran semasa berfungsi dengan baik dan memilih untuk menghormati rakan kerjasama di Putrajaya tanpa mencetuskan pertembungan yang tidak perlu di peringkat negeri, mengapa pula langkah itu harus dilabel sebagai anti-demokrasi?
Di sinilah terletaknya sindiran paling berbisa daripada Abdul Karim terhadap Chong. Ketika parti-parti nasional lain memilih pendekatan berhemah demi kestabilan bersama, DAP Sarawak kelihatan mengambil haluan berbeza mahu berpeluk tubuh sebagai rakan kongsi GPS di Putrajaya, tetapi dalam masa yang sama mahu mengasak gabungan itu di halaman sendiri.
Seperti yang dibayangkan Abdul Karim, nada keras Chong itu barangkali lahir daripada rasa terpinggir apabila parti-parti lain enggan turut serta dalam percaturan yang cuba dimainkan DAP di Sarawak.
Pengundi Sarawak hari ini sudah cukup matang untuk menilai antara politik yang membina kestabilan dengan retorik yang sekadar mahu mencipta polemik.
Apabila gendang penamaan calon dipalu Sabtu ini sebelum pengundian awal pada 8 Disember dan hari penentuan pada 12 Disember nanti rakyat Sarawak sendiri yang akan menentukan sama ada pendekatan menghormati muafakat ini satu kelemahan, atau sebenarnya kematangan berpolitik yang mereka mahukan.





