KABONG, 26 Nov - Menjelang proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 pada 28 November ini, golongan muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kabong mengharapkan bakal wakil rakyat baharu kawasan itu mampu memahami denyut nadi belia serta menyelesaikan masalah capaian internet yang sering membelenggu penduduk setempat.

Tinjauan rambang BNOW.MY di sekitar daerah ini mendapati rata-rata anak muda sudah mula menilai calon-calon berpotensi yang disebut bakal bertanding merangkumi calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Nor-E-Fadzwie bin Salleh, serta wakil Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Belitang Anak Abeng.

Bagi pekerja sementara, Mohd Khairul Ikhwan bin Kadir, 28, dari Kampung Wawasan, beliau cenderung memilih Nor-E-Fadzwie sebagai calon berpotensi untuk menggalas amanah di DUN Kabong berdasarkan faktor usia serta latar belakangnya sebagai anak tempatan.

IMG_3395

Penduduk Kampung Wawasan, Mohd Khairul Ikhwan bin Kadir, 28, menyuarakan harapan agar bakal wakil rakyat baharu DUN N.40 Kabong mengutamakan penyelesaian masalah capaian internet yang sering terganggu di kawasan berkenaan. 

Menurut beliau, kriteria sebagai golongan muda dan anak jati Kabong memberi kelebihan kepada calon berkenaan untuk lebih dekat dengan realiti kehidupan serta keperluan harian masyarakat di peringkat akar umbi.

Mengulas harapan terhadap wakil rakyat baharu kelak, Mohd Khairul Ikhwan menegaskan bahawa isu capaian internet yang tidak stabil dan sering terganggu perlu diberi perhatian utama demi kemudahan urusan harian penduduk.

Pandangan senada turut disuarakan oleh Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kabong, Nur Alia Aiyani binti Yusuf, 25, dari Kampung Ulu Laut yang turut menamakan Nor-E-Fadzwie sebagai pilihan berpotensi.

IMG_3396

“Faktor umur yang masih muda menjadi nilai tambah penting supaya kepimpinan di Kabong lebih dinamik dan selari dengan keperluan generasi baharu, selain berharap isu capaian internet yang kerap terganggu dapat diselesaikan,” — Nur Alia Aiyani binti Yusuf, 25, Pengurus NADI Kabong. 

Beliau berpendapat faktor umur yang masih muda menjadi nilai tambah penting bagi memastikan kepimpinan di Kabong lebih dinamik, seiring dengan keperluan generasi baharu di kawasan luar bandar.

Seperti penduduk lain, Nur Alia Aiyani turut berharap agar wakil rakyat yang dipilih pada 12 Disember nanti dapat mengangkat penyelesaian tuntas terhadap masalah liputan internet yang kerap berlaku di sekitar Kabong.

Kerusi N.40 Kabong bakal menyaksikan penampilan muka baharu selepas penyandangnya, Dato Mohd Chee Kadir mengesahkan tidak bertanding pada PRN-13 kali ini.