IMG_3226

Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg — Foto: Utusan Sarawak | Arkib

Menjelang pengumuman senarai penuh 82 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 pada jam 12 tengah hari esok (25 November), perhatian pemerhati politik negeri tertumpu kepada satu persoalan utama: bagaimana gabungan itu akan menyelesaikan kerusi yang mempunyai tuntutan bertindih?

Dua kawasan yang paling menjadi tumpuan ialah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan dan Engkilili.

Kedua-duanya merupakan kerusi tradisi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), namun penyandangnya Datuk Seri Wong Soon Koh di Bawang Assan dan Dr Johnichal Rayong Ngipa di Engkilili sebelum ini menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), sebelum kedua-duanya mengumumkan keluar daripada parti tersebut baru-baru ini.

Perubahan kedudukan itu secara tidak langsung menghidupkan semula spekulasi sama ada GPS akan menggunakan semula formula calon langsung (direct candidate), pendekatan yang pernah digunakan dalam politik Sarawak sebelum ini bagi mengelakkan pertembungan terbuka antara parti komponen yang menuntut kerusi sama.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan tersebut, Pengerusi GPS merangkap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memilih untuk tidak mengulas lanjut.

“Tunggu besok hari. Semua akan terjawab besok,” katanya ringkas.

Dalam nada yang tenang namun sarat makna, beliau turut mengingatkan bahawa sebarang perbezaan pandangan dalam gabungan itu mampu diuruskan dengan baik, “Tidak ada laut yang tidak bergelora. Tetapi ia dapat diselesaikan dalam semangat setiakawan.”

Keempat-empat parti komponen GPS sebelum ini telah memberikan mandat penuh kepada Abang Johari untuk memuktamadkan senarai akhir calon gabungan itu. 

Justeru, pengumuman esok bukan sekadar memperkenalkan 82 nama yang bakal menggalas cabaran di peti undi, tetapi juga menjadi ukuran sejauh mana kesepakatan GPS kekal utuh apabila berdepan percaturan kerusi yang sensitif.

-TAMAT-