KUCHING, 26 Nov: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini mengeluarkan peringatan rasmi berhubung tatacara serta pematuhan undang-undang sempena Hari Penamaan Calon (HPC) bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Yang Ke-13 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 28 November 2026.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril bin Idrus dalam kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa proses penyerahan kertas penamaan calon akan berlangsung selama satu jam bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 82 Pusat Penamaan Calon di seluruh negeri.

Menurut beliau, penyerahan kertas penamaan calon tersebut hendaklah dikemukakan oleh:

  • 1. Calon, pencadang dan penyokong; atau
  • 2. Mana-mana dua orang daripada mereka; atau
  • 3. Mana-mana seorang daripada mereka.

Semakan Awal Borang dan Resit Deposit

Bagi melancarkan urusan pada hari berkenaan, SPR menyarankan supaya bakal-bakal calon mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon, di samping melunaskan pembayaran deposit lebih awal.

Resit pembayaran deposit berkenaan hendaklah dibawa bersama pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti pembayaran rasmi.

Bagi bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula, mereka diwajibkan mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili ketika menyerahkan kertas penamaan calon.

Larangan Pembesar Suara dan Had Jarak 50 Meter

Dalam pada itu, Datuk Khairul Shahril menegaskan bahawa calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah tertakluk sepenuhnya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] serta undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ini merangkumi larangan penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui kenderaan, selain larangan menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan yang ditetapkan pada Hari Penamaan Calon yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta 5.

Sehubungan itu, SPR menyeru semua bakal calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika serta arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon di seluruh Sarawak.

IMG_3405
IMG_3406