SARAWAK | SIMANGGANG | 25 November 2026 - Menjelang fasa akhir penentuan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, seorang lagi tokoh veteran memilih untuk berundur daripada gelanggang. Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat sementara, Datuk Francis Harden Hollis hari ini mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Simanggang menamatkan perjalanan politiknya selama 30 tahun sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

Enam Penggal Sejak 1996
Mula menjejakkan kaki ke DUN Sarawak selepas memenangi kerusi Simanggang pada pilihan raya negeri 1996 di bawah Barisan Nasional (BN), tokoh kanan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu berjaya mengekalkan penguasaannya dalam lima pilihan raya berturut-turut berikutnya pada 2001, 2006, 2011, 2016 dan 2021 atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Dalam kenyataan hari ini, Harden merakamkan penghargaan kepada rakyat Simanggang, pemimpin tempatan, tuai rumah serta pertubuhan masyarakat yang berdiri di belakangnya sepanjang enam penggal berkhidmat, di samping memohon maaf atas sebarang kekhilafan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Presiden SUPP, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian atas bimbingan dan kepercayaan yang diberikan, termasuk pelantikannya dalam Kabinet Sarawak sejak Januari 2022.
Laluan Baharu di Kerusi Sengit
Mengenai penggantinya di Simanggang, bekas bendahari SUPP itu menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada Abang Johari dan barisan kepimpinan GPS untuk mengenal pasti calon paling layak meneruskan khidmat kepada penduduk setempat.
Pengunduran Harden sekali gus membuka ruang kepada muka baharu di Simanggang sebuah kawasan yang menyaksikan persaingan sengit pada PRN 2021 apabila beliau menang dengan majoriti tipis 175 undi selepas memperoleh 3,954 undi menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wilson Entabang yang meraih 3,779 undi.





