Nama aktivis veteran Sarawak, Peter John Jaban sebelum ini lebih kerap dikaitkan dengan kawasan pinggir bandar seperti Bandar Riyal dan Merdang terutama selepas beliau mengetuai jawatankuasa bantahan berkaitan isu penamaan kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Samarindah dan Bandar Riyal pada Ogos lalu.

Aktivis veteran Sarawak, Peter John Jaban mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN N.11 Batu Lintang pada PRN Sarawak Ke-13. — Foto: Facebook rasmi Peter John Jaban
Namun menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, beliau membuat keputusan berbeza. Pada 24 November, Peter John mengesahkan bahawa beliau akan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN N.11 Batu Lintang, sebuah kawasan matang di tengah-tengah bandar raya Kuching.
ISU INFRASTRUKTUR USANG DI JANTUNG BANDAR RAYA.
Bagi Peter John, pemilihan Batu Lintang bertitik tolak daripada kedudukannya sebagai sebahagian daripada kawasan asal bandar raya Kuching yang dekat di hatinya.
Beliau berpandangan bahawa di sebalik kepesatan pembangunan di bahagian lain di ibu negeri itu, sebahagian kawasan di Batu Lintang seolah-olah terpinggir selama beberapa dekad. Penduduk di kawasan tersebut masih berdepan isu infrastruktur yang semakin usang, penglibatan komuniti yang terhad dalam perancangan setempat, serta kebimbangan mengenai nilai hartanah mereka.
“Setiap pengundi di setiap kawasan berhak mendapat layanan saksama, keadilan dan bahagian yang adil daripada kemakmuran Sarawak,” katanya menerusi kenyataan mengumumkan pencalonannya.
Bagi meyakinkan pengundi, beliau menawarkan manifesto yang dirangka khusus mengikut keperluan setempat di Batu Lintang.
HUJAH WAKIL BEBAS DI TENGAH DOMINASI GPS.
Satu perkara menarik dalam pendekatan kempen Peter John ialah nada beliau terhadap kerajaan negeri. Beliau secara terbuka mengakui bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka mengekalkan pentadbiran negeri dengan majoriti besar.
Namun, di sebalik sokongan terhadap kepimpinan Abang Johari, beliau berhujah bahawa ketiadaan suara semak dan imbang yang berkesan tidak sihat untuk amalan demokrasi.
Menurut Peter John, pendekatan parti pembangkang konvensional terbukti kurang berkesan dalam landskap politik Sarawak. Justeru, beliau melihat peranan wakil rakyat Bebas yang tidak terikat dengan mana-mana parti sama ada parti tempatan mahupun nasional sebagai alternatif yang lebih praktikal untuk membawa suara akar umbi terus ke DUN.
“Pembangkang tidak berkesan di Sarawak. Namun, dalam konteks semasa, wakil rakyat bebas yang memberi tumpuan kepada isu tempatan dan mencadangkan dasar dari peringkat akar umbi adalah lebih penting berbanding sebelum ini,” jelasnya.
GELANGGANG SENGIT DI BATU LINTANG.
Penyertaan Peter John dijangka merancakkan lagi saingan berbilang penjuru di kerusi Batu Lintang, yang turut menjadi sasaran utama GPS dan Pakatan Harapan (PH).
Sebelum DUN dibubarkan, kerusi berkenaan disandang oleh See Chee How yang memenanginya atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada PRN 2021 dengan majoriti tipis 93 undi menewaskan calon GPS, Sih Hua Tong, sebelum bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.
Dengan pengundi bandar yang sering menilai calon berdasarkan rekod khidmat dan isu setempat, kehadiran Peter John memberi satu lagi pilihan di luar kerangka parti politik tradisi pada hari pengundian kelak.
-TAMAT-





