KOTA SAMARAHAN, 16 Nov — Sebanyak 35 daripada keseluruhan 99 projek pembangunan fizikal Persekutuan di Sarawak kini sedang rancak dalam fasa pembinaan dengan kos keseluruhan berjumlah RM5 bilion.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Pelbagai Kelas Kem Muara Tuang di Kota Samarahan, hari ini - Kredit Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, keseluruhan 99 projek berkenaan melibatkan nilai pembangunan kira-kira RM12 bilion, dengan pelaksanaan projek dibahagikan antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sarawak mengikut nilai kontrak.
“Keseluruhan kita ada 99 projek di Sarawak. Daripada jumlah itu, 35 projek sedang dalam pembinaan dengan kos RM5 bilion,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Pelbagai Kelas Kem Muara Tuang di sini, hari ini.
Menurut beliau, projek bernilai RM50 juta dan ke bawah telah diserahkan kepada JKR Sarawak untuk dilaksanakan, manakala projek berskala lebih besar dikendalikan oleh JKR Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, projek RKAT Kem Muara Tuang bernilai RM119.1 juta yang dibangunkan di kawasan seluas 28.3 hektar itu telah siap sepenuhnya dan memperoleh Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 2 Oktober 2026.
Projek berkenaan menyediakan 190 unit kediaman pelbagai kelas, selain dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk surau, tadika, taska, rumah sampah serta rumah pam bagi memenuhi keperluan harian penghuni.
Ujarnya, tempoh tanggungan kecacatan (Defect Liability Period) selama dua tahun ditetapkan bagi memastikan sebarang kecacatan atau kekurangan sepanjang tempoh berkenaan diperbaiki oleh pihak kontraktor.
“Dalam masa dua tahun itu, kontraktor masih bertanggungjawab untuk memperbaiki mana-mana kecacatan yang dikenal pasti dalam penyiapan projek,” jelasnya.
Beliau turut menerangkan bahawa sedikit lanjutan masa (EOT) bagi projek tersebut bukan berpunca daripada kelemahan kontraktor, sebaliknya disebabkan oleh pertambahan skop kerja.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pihak kontraktor perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kelewatan projek yang berpunca daripada kelemahan pengurusan, masalah kewangan serta kekurangan tenaga kerja di tapak pembinaan.
“Where they are responsible, they must be responsible,” tegasnya.
Tambah beliau, Kementerian Kerja Raya juga sedang memperkemas perancangan serta mengenal pasti kekangan pelaksanaan projek, termasuk aspek kapasiti teknikal serta penyelarasan berkaitan tanah dan utiliti bagi memastikan projek pembangunan dapat disiapkan mengikut jadual.





