KUCHING, 18 Nov — Sebanyak empat projek sakit di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) direkodkan di Sarawak setakat hari ini, melibatkan pembinaan dan naik taraf sekolah di beberapa bahagian.

82704284-6237-403F-90A7-BDB9701C209E


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, projek terbabit merangkumi pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar, Baram bernilai RM17 juta yang sepatutnya siap pada 26 Oktober lalu, namun hanya mencapai 80 peratus kemajuan.

Selain itu, projek Sekolah Kebangsaan (SK) Sebat, Lundu dengan kos RM24 juta yang dijadual siap pada 13 November pula baru mencapai tahap kemajuan 66 peratus, manakala projek SMK Belaga bernilai RM31 juta yang sepatutnya siap pada 20 Oktober hanya berada pada tahap 81 peratus.

Projek keempat melibatkan pembinaan gantian penuh 30 bilik darjah, asrama berkapasiti 600 pelajar dan 12 unit rumah guru di SK Abang Leman, Saratok bernilai RM46 juta yang sepatutnya mencapai kemajuan 54 peratus pada 10 November, namun hanya mencatatkan 32 peratus.

“Sekiranya kontraktor gagal menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan, kementerian akan menghantar Notis Untuk Tujuan Penamatan (NUTP), selepas itu jika masih tidak berubah kita akan tamatkan dan mencari kontraktor penyelamat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan, di sini, hari ini.

Secara keseluruhan, sebanyak 99 projek pembangunan fizikal di bawah JKR Sarawak direkodkan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM12.17 bilion, di samping 26 projek kerja penyelenggaraan, pemulihan, ubah suai dan naik taraf bernilai RM206.27 juta.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Maslan memaklumkan bahawa sebanyak 18 projek pembangunan di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.14 bilion telah disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Rolling Plan Kedua bagi tahun 2027.

Daripada jumlah tersebut, 14 projek melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dua projek di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta masing-masing satu projek di bawah Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Semua projek dirancang merangkumi pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan dan keselamatan yang bertujuan memperkukuh penyediaan infrastruktur asas serta meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan awam lebih berkualiti,” katanya.

Beliau menegaskan pelaksanaan projek berkenaan akan terus diselaras bersama kementerian pelanggan dan agensi berkaitan bagi memastikan proses perancangan, reka bentuk, kelulusan, perolehan serta penyediaan tapak dilaksanakan secara teratur sebelum kerja pembinaan dimulakan.