LAWAS, 17 Nov — Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak hari ini mengadakan Majlis Pecah Tanah Projek Loji Rawatan Air Pengalih, Lakutan Lawas di Perkarangan Surau Nor Iman, Kampung Lakutan Baru, di sini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan (duduk, tengah) bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi (duduk, kiri) pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Loji Rawatan Air Pengalih, Lakutan Lawas di Perkarangan Surau Nor Iman, Kampung Lakutan Baru, Lawas, hari ini - Kredit Foto: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan sesi taklimat projek di tapak yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah JBALB Sarawak, Ir. Ts. Haji Tamida bin Haji Da'adi kepada Datuk Amar Awang Tengah sebelum acara perasmian berlangsung.
Pelaksanaan Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Baharu Lawas bernilai RM160.69 juta itu telah bermula pada 8 Jun 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama 30 bulan dan dijadualkan siap pada 8 Disember 2028.
Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak ini melibatkan pembinaan sebuah loji rawatan air baharu berkapasiti 20 Juta Liter Sehari (JLH) serta pembinaan muka sauk air mentah berkapasiti 60 JLH.
Ia turut dilengkapi kemudahan pengepaman awal berkapasiti minimum 20 JLH selain peruntukan ruang bagi pemasangan sistem pengepaman tambahan pada masa hadapan.
Apabila siap kelak, projek loji rawatan air baharu ini dijangka meningkatkan keupayaan pengeluaran air terawat bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan, sekali gus memperkukuh kestabilan sistem bekalan air di Bandar Lawas serta kawasan sekitarnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi; Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datu Haji Jafri bin Lias; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd, Puan Malseni binti Jamal; Pegawai Daerah Lawas, Tuan Ladin Atok; serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Encik Awgku Jinal Abedin bin Dato Pengiran Jawa.
Hadir sama Timbalan Pengarah (Khidmat Teknikal) JBALB, Ir. Ts. Kueh Li Li; Timbalan Pengarah (Operasi) JBALB, Ts. Aaron Gorino; Jurutera Air Bahagian Limbang, Ts. Ahmad Hafidzur Rahman bin Ahmad Nidhom; ketua masyarakat dan ketua kaum serta pegawai agensi berkaitan.





