KAPIT | 20 November 2026 - Pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Goram yang bernilai RM96.79 juta bakal menyediakan kapasiti bagi 1,115 pelajar, sekali gus meredakan tekanan kemasukan murid di sekolah menengah sedia ada sekitar Bahagian Kapit.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pecah Tanah projek pembinaan baharu SMK Bukit Goram di Kampung Kemarau, Kapit, pada Jumaat – Foto UKAS
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek sekolah baharu itu amat mendesak memandangkan sekolah menengah sedia ada semakin tidak mampu menampung peningkatan permintaan kemasukan pelajar.
Jelas beliau, reka bentuk sekolah berkenaan mampu menempatkan 1,080 pelajar aliran perdana serta 35 murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pecah Tanah projek tersebut di Kampung Kemarau, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Alexander memaklumkan bahawa penjimatan sekitar RM40 juta daripada peruntukan asal berbanding harga tender berpotensi digunakan untuk membina kuarters guru dan asrama pelajar, tertakluk kepada kelulusan kementerian berkaitan.
Berdasarkan rekod prestasi pelaksanaan projek terdahulu, beliau turut menyuarakan harapan agar pihak kontraktor dapat menyiapkan pembinaan itu enam bulan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.
Projek berkenaan mengambil masa 182 minggu untuk disiapkan dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 16 Mei 2030.
Dibangunkan di atas tapak seluas 7.19 hektar, skop pembinaan merangkumi blok pentadbiran, blok akademik dengan 36 bilik darjah, blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Menengah yang mempunyai lima bilik darjah, kantin, dewan sekolah, tandas serta kemudahan sokongan lain.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Dato Ir Ibrahim Esa menegaskan semua pihak terlibat perlu memastikan kerja pembinaan mematuhi jadual, spesifikasi serta standard kualiti yang ditetapkan.
Beliau turut mengingatkan pihak kontraktor dan Pengarah Projek supaya melaksanakan amanah secara profesional dan berintegriti, di samping memantau kemajuan kerja serta mengesan sebarang isu di tapak lebih awal bagi mengelakkan kelewatan.
Pelaksanaan projek ini juga memberi penekanan terhadap sasaran sifar projek sakit menerusi kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Anak Unyat serta Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan JKR Malaysia, Dato Ir Ahmad Nadzri Abdul Majid.





