LAWAS, 19 Nov — Manfaat yang dinikmati rakyat menerusi kemudahan perhubungan lebih baik, akses kepada pasaran serta kemudahan asas perlu dijadikan ukuran utama kejayaan sesuatu pembangunan, bukannya sekadar jumlah peruntukan atau bilangan projek yang dilaksanakan.

IMG_2516

Suasana gemilang pertunjukan bunga api dan limpahan cahaya lampu LED mewarnai Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas di Lawas, malam tadi - Foto: UKAS

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan sebenar mesti membawa perubahan positif yang dapat dirasai secara langsung dalam kehidupan seharian masyarakat.

“Pembangunan sebenar tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah peruntukan yang disalurkan atau bilangan projek yang diumumkan, tetapi melalui perubahan yang dibawa kepada kehidupan rakyat.

“Apabila perjalanan menjadi lebih mudah, hasil pertanian dapat dipasarkan dengan lebih cepat dan kemudahan asas lebih mudah diakses, ketika itulah pembangunan benar-benar membawa perubahan,” katanya menerusi kenyataan media Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) sempena Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas, semalam.

Jambatan sepanjang 642 meter dengan kos pembinaan bernilai RM149.86 juta itu merentasi Sungai Lawas bagi menghubungkan Jalan Pulau Salam dengan Kampung Ladang Baru, dan telah siap pada 15 Oktober lalu iaitu hampir tiga bulan lebih awal daripada jadual asal.

Projek yang dilaksanakan oleh RECODA menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) berkenaan turut memperkukuh jaringan Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) ke arah Merapok dan sempadan Sabah.

Kesalinghubungan yang lebih lancar itu dijangka merancakkan pergerakan penduduk selain membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelancongan dan pelaburan, sekali gus memacu potensi Lawas sebagai pusat pertumbuhan strategik di utara Sarawak.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi NRDA, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembangunan wilayah perlu dirancang berasaskan kekuatan serta kelebihan strategik setiap kawasan agar pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara saksama.

Beliau menegaskan setiap pelaburan pembangunan wajar diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat melalui penyediaan kemudahan awam lebih berkualiti, peluang pekerjaan dan peningkatan taraf hidup.

Jambatan Bandar Lawas merupakan antara 159 inisiatif pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi yang digerakkan di bawah kawasan pembangunan NRDA.

Majlis perasmian berkenaan turut menyaksikan penyampaian dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR), masing-masing kepada Jambatan Bandar Lawas bagi kategori Longest LED Light Display on a Cantilever Bridge dan projek NCH bagi kategori Largest 3D Printed Civil Infrastructure Model.

Pencapaian itu melengkapkan lagi kejayaan projek NCH selepas meraih anugerah kategori Aspiring Sustainability Infrastructure Project pada Green and Geopark Excellence Awards (GAGA) 2026 pada 6 Oktober lalu.