LAWAS, 12 Nov — Ruang udara Bandar Lawas bakal dihiasi dengan pertunjukan bunga api penuh warna-warni sempena sambutan Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas pada 18 November 2026.

Sambutan bersejarah anjuran RECODA dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) itu turut bakal diserikan dengan pertunjukan bunga api serta Konsert Rakyat bagi memeriahkan suasana buat penduduk setempat dan para pengunjung pada 18 November 2026 - Kredit Foto: QisArora Bert
Menerusi pemakluman rasmi oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), pertunjukan bunga api tersebut akan menjadi antara acara kemuncak bagi memeriahkan lagi penganjuran Konsert Rakyat serta majlis perasmian mercu tanda baharu itu.
Majlis bersejarah anjuran RECODA bersama Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) berkenaan dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
Penganjuran acara kemuncak pada waktu malam itu dijangka menjadikan sambutan perasmian projek infrastruktur ikonik tersebut lebih bermakna buat masyarakat setempat serta para pengunjung yang hadir.
Orang ramai di sekitar daerah ini dan kawasan berhampiran turut dijemput hadir beramai-ramai bagi menyaksikan detik bersejarah pembangunan wilayah utara Sarawak itu.





