LAWAS, 18 Nov — Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas dirasmikan hari ini dalam satu majlis di perkarangan bangunan berkenaan yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Pemandangan udara Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas setinggi 15 tingkat yang menjadi mercu tanda pentadbiran baharu bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam di daerah berkenaan - Foto: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang menekankan usaha Kerajaan Sarawak menyediakan perkhidmatan sehenti (One-Stop Service) kepada masyarakat menerusi Service Sarawak serta pelbagai pusat perkhidmatan bersepadu.
Beliau menjelaskan bahawa konsep One-Stop Service Centre itu bertujuan menyatukan pelbagai perkhidmatan agensi barisan hadapan perkhidmatan awam negeri dalam satu platform bagi memudahkan urusan orang ramai.
Majlis turut disusuli dengan taklimat ringkas berkaitan pembangunan serta skop pelaksanaan projek oleh Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Adj. Prof. Ir. Ts. Is. Gs. Br. PMr. Dr. Cassidy anak Morris.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan blok pejabat setinggi 15 tingkat yang dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk Pusat Perkhidmatan Sarawak (Service Sarawak Centre), dewan serbaguna, dewan persidangan, ruang pejabat jabatan kerajaan, surau, taman atas bumbung serta kawasan parkir bertingkat.
Skop kerja projek tersebut turut melibatkan penyediaan infrastruktur dan utiliti serta kerja-kerja kemasan dalaman bangunan.
Dengan keluasan lantai kasar kira-kira 47,214 meter persegi, kompleks baharu itu menempatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung bagi mewujudkan persekitaran pentadbiran yang lebih bersepadu, kondusif dan sistematik.
Pembangunan mercu tanda pentadbiran itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur pentadbiran serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, khususnya kepada penduduk di Daerah Lawas dan kawasan sekitarnya.





