LAWAS, 18 Nov — Jambatan Bandar Lawas yang memiliki reka bentuk ikonik disifatkan mirip jambatan di Budapest, Hungary, sekali gus berpotensi menjadi produk tarikan pelancongan baharu di utara Sarawak.

IMG_2395

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berucap pada Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Lawas di Lawas, hari ini - Foto: UKAS

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keunikan seni bina jambatan berkenaan sudah mula mencuri tumpuan pengguna media sosial meskipun majlis perasmiannya belum lagi berlangsung.

Menurutnya, gambar jambatan tersebut yang tular di media sosial menerima reaksi positif masyarakat, malah reka bentuknya mengingatkan beliau kepada jambatan di Budapest yang terkenal dengan seni bina warisan Eropah.

“Saya lihat ramai orang di media sosial suka dengan jambatan kita. Belum rasmi lagi, tetapi di media sosial sudah ada yang mengatakan, ‘Ya Rabbi, kacak jambatan di Lawas ini’. Baru gambar yang keluar dan reka bentuknya mirip jambatan di negara Eropah.

“Jadi, jambatan kita macam di Budapest. Reka bentuknya memang berlainan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pentadbiran Lawas di sini, hari ini.

IMG_2396

Pemandangan Jambatan Bandar Lawas yang menampilkan reka bentuk ikonik merentasi sungai di Lawas, sekali gus menjadi mercu tanda baharu di bahagian utara Sarawak - Foto: Utusan Sarawak

Beliau menjelaskan, pembangunan infrastruktur yang mempunyai nilai estetika tinggi bukan sahaja berfungsi sebagai kemudahan perhubungan semata-mata, malah mampu menarik kehadiran pelancong dari luar kawasan.

Sebagai contoh, beliau berkongsi pengalaman mengenai pelancong dari Singapura yang sanggup berkunjung ke Kuching semata-mata untuk melihat Jambatan Batang Lupar sebelum pulang ke negara asal mereka.

Menurut Abang Johari, perkembangan itu membuktikan bahawa sesebuah mercu tanda infrastruktur berupaya menarik kedatangan pelawat dan memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Dalam pada itu, beliau turut membayangkan potensi besar Lawas untuk berkembang sebagai destinasi pelancongan utama menerusi pembangunan kawasan pesisir Teluk Brunei, merangkumi cadangan pembinaan pelabuhan dan hotel serta penyediaan aktiviti rekreasi air seperti perahu layar dan jet ski.

Jambatan Bandar Lawas sepanjang 642 meter dengan kos pembinaan berjumlah RM149 juta itu telah mula dibuka kepada orang ramai pada 6 November lalu, sekali gus menghubungkan kawasan Pulau Salam dengan Kampung Ladang Baru serta memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua lokasi.

Abang Johari dijadualkan menyempurnakan majlis perasmian Jambatan Ikonik Bandar Lawas pada jam 8.30 malam ini di lokasi berkenaan.