TEBEDU, 17 Nov - Cadangan untuk menyusun semula reka bentuk rumah panjang perlu diteliti secara mendalam bagi mengurangkan risiko kebakaran merebak ke seluruh struktur, susulan insiden yang memusnahkan Rumah Panjang Anyie di Matop, Paku pada Sabtu lalu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kebakaran di rumah panjang berkenaan merebak dengan pantas ke seluruh struktur dalam tempoh kira-kira satu jam berikutan kesukaran penduduk mengawal api pada peringkat awal.
“Bayangkan, rumah yang berusia 85 tahun dengan struktur kayu yang sudah sangat kering. Bahan binaan seperti itu amat mudah terbakar. Itulah cabaran yang perlu kita hadapi.
“Justeru, kita akan meneliti perkara ini dan turut meminta laporan daripada pihak bomba, termasuk tahap kesiapsiagaan mereka dalam menangani kebakaran seperti yang berlaku di Rumah Panjang Matop,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Projek Jalan Temong/Tepoi/Sadir Fasa 2 di Dewan Kampung Temong Mawang, di sini, semalam.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menjelaskan, pihaknya akan mendapatkan laporan penuh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengenal pasti punca kebakaran serta menilai tahap kesiapsiagaan agensi terbabit dalam menghadapi insiden seumpama itu.
Menurutnya, kedudukan struktur rumah panjang tersebut yang tinggi iaitu hampir 50 kaki dari aras tanah turut menambah cabaran besar dalam usaha memadamkan kebakaran.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak akan membantu menyediakan penempatan sementara kepada semua mangsa sebelum kerja-kerja pembinaan rumah baharu dilaksanakan.
Katanya, mangsa memilih untuk menumpang di rumah ahli keluarga masing-masing yang tinggal berdekatan pada malam kejadian, meskipun pusat pemindahan sementara (PPS) telah disediakan di Dewan Panglima Rentap, Betong.
“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga mempunyai dasar untuk menyalurkan bantuan sebanyak RM70,000 kepada setiap keluarga yang terjejas akibat kebakaran rumah bagi tujuan pembinaan rumah baharu.
“Mangsa dalam kejadian ini layak menerima bantuan tersebut dan kita mahu memproses permohonan berkenaan secepat mungkin,” ujarnya.
Beliau turut mengesahkan bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian terbabit memandangkan kesemua penduduk sempat menyelamatkan diri.





