PUSA, 15 Nov — Seramai 331 penerima di kawasan Beting Maro menerima sebanyak 471 Surat Hak Milik Tanah (SHT) di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS), sekali gus memberikan jaminan undang-undang yang kukuh terhadap pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka.

IMG_2042

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (tengah) menyerahkan Surat Hak Milik Tanah (SHT) Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTS bagi kawasan Beting Maro di Dewan Komuniti Kampung Pusa, semalam - Kredit Foto: Unit Perhubungan Awam JTS Bahagian Betong

Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Komuniti Kampung Pusa, semalam.

Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 85 penerima dari Sungai Bras, Beladin menerima 110 surat hak milik, manakala 246 penerima dari Kampung Tambak menerima 361 surat hak milik.

Awang Tengah berkata, bagi Kerajaan Sarawak, tanah bukan sekadar aset ekonomi semata-mata, tetapi merupakan warisan keluarga, sumber rezeki serta lambang identiti dan kesinambungan generasi.

“Tanah bukan sekadar aset atau sumber ekonomi, sebaliknya merupakan warisan keluarga yang perlu dipelihara dan dipertahankan untuk generasi akan datang,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan Program Pengukuran Tanah NCR sejak tahun 2010 membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperjelas sempadan, memperkukuh rekod pemilikan serta melindungi hak tanah rakyat berlandaskan undang-undang.

Program berkenaan dilaksanakan menerusi dua peringkat utama, iaitu pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 KTS, diikuti pengukuran lot individu serta pengeluaran hak milik di bawah Seksyen 18 KTS.

Sehingga 31 Oktober 2026, sebanyak 1.248 juta hektar tanah NCR telah berjaya diukur dari segi perimeter dengan 979,434 hektar daripadanya telah diwartakan, manakala sebanyak 112,717 lot individu melibatkan keluasan 135,332 hektar telah diukur dan 40,796 lot seluas 60,727 hektar telah diberikan Surat Hak Milik Tanah.

Beliau turut menegaskan bahawa pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 sama sekali bukan bertujuan mengambil atau merampas tanah rakyat, sebaliknya menjadi mekanisme untuk mengenal pasti, merekod dan melindungi kawasan NCR yang diiktiraf.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pemilik tanah NCR agar memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS), khususnya dalam mengenal pasti sempadan, menghadiri sesi pengukuran serta menyelesaikan sebarang pertikaian menerusi saluran undang-undang.

Mengulas keistimewaan SHT Seksyen 18 KTS, beliau menjelaskan dokumen berkenaan tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan daripada bayaran premium serta mempunyai tempoh pegangan kekal.

Beliau turut mengingatkan para penerima supaya tidak terburu-buru menjual tanah masing-masing demi memenuhi keperluan kewangan jangka pendek, sebaliknya memanfaatkannya secara produktif melalui pelbagai inisiatif termasuk Program Modenisasi Pertanian di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD).