LAWAS, 17 Nov — Penduduk di sekitar daerah ini dan kawasan berhampiran dijemput hadir memeriahkan Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas yang akan berlangsung esok, Rabu, 18 November 2026, bertempat di Jalan Utama berhadapan CENTEXS Lawas.

IMG_2306

Majlis perasmian projek infrastruktur ikonik di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) itu dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Berdasarkan atur cara yang dikeluarkan penganjur, kemeriahan acara akan bermula seawal jam 6:30 petang menerusi segmen Pra Persembahan yang menampilkan barisan artis tempatan iaitu Rosiana Urai, Firdaus Materang dan Zulkifli.

Acara kemuncak iaitu Majlis Perasmian Jambatan Baru Lawas dijadual berlangsung pada sebelah malam (bermula jam 7:30 malam hingga 8:00 malam), yang turut diserikan dengan persembahan Pertunjukan Bunga Api bagi meraikan pembukaan mercu tanda baharu bandar berkenaan.

Kemeriahan malam perasmian itu akan diteruskan lagi pada jam 9:30 malam dengan penganjuran Konsert Rakyat yang bakal menghiburkan para pengunjung menerusi persembahan daripada Baby Shima, Bob Sentuhan Buskers serta D'Cipta Band.

Orang ramai dialu-alukan hadir bersama keluarga bagi menyaksikan detik bersejarah pembangunan bahagian utara Sarawak ini di samping menikmati pelbagai pengisian hiburan yang disediakan.