SAMARAHAN, 19 Nov — Penduduk di sekitar Bahagian Samarahan berpeluang menikmati pelbagai kemudahan dan perkhidmatan agensi kerajaan negeri serta persekutuan di bawah satu bumbung menerusi penganjuran Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Samarahan.

Gambar hiasan AI
Program bertemakan 'Jaga Sarawak • Intu Sarawak' itu menghimpunkan puluhan kaunter bayaran, perkhidmatan pentadbiran serta pameran melibatkan enam kluster utama bagi memudahkan urusan harian rakyat secara bersemuka.
Menerusi segmen Kaunter Bayaran dan Perkhidmatan, orang ramai boleh menyelesaikan urusan bersama Service Sarawak, Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC), Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd, Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL Sarawak), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Affin Bank Berhad serta saluran maklum balas Talikhidmat.
Turut membuka kaunter perkhidmatan ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi pembaharuan lesen dan pemeriksaan motosikal PG.10, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Sarawak Water Sdn Bhd, Tabung Baitulmal Sarawak, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan khidmat rundingan kewangan dan perundangan daripada Jabatan Insolvensi Negeri Sarawak, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Bank Negara Malaysia (semakan CCRIS), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (semakan Wang Tak Dituntut), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Amanah Raya Berhad.
Bagi urusan rasmi di peringkat pentadbiran pula, Kaunter Pentadbiran Bahagian menyediakan khidmat panduan keperluan statutori, perkhidmatan salinan diakui sah (Certified True Copy) serta semakan dalam talian bagi permohonan melalui sistem e-rando.
Dalam aspek pendigitalan, Kluster Digital dan Inovasi memperkenalkan perkhidmatan SarawakPass, pendaftaran MyDigital ID melalui SarawakPass, aplikasi serta portal perkhidmatan digital, Service Sarawak dan S Pay Global.
Sementara itu, Kluster Sosial dan Kebajikan menampilkan pelbagai inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti termasuk Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Endowment Fund Sarawak (EFS), Geran Intervensi Sosial Sarawak (GISS) dan Dokumen Sementara Bagi Individu Tanpa Kewarganegaraan Di Sarawak (DSITKS), di samping penyertaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, SeDIDIK serta One Stop Early Intervention Centre.
Pengunjung yang mengutamakan penjagaan kesihatan turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan saringan kesihatan, saringan kecergasan dan fisioterapi, promosi gaya hidup sihat serta suntikan vaksin influenza di bawah Kluster Kesihatan yang dikendalikan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Bagi golongan peniaga dan usahawan, Kluster Keusahawanan menghimpunkan agensi seperti Jabatan Pertanian Sarawak (DOA), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSAR), TEKUN Nasional, Agrobank serta Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).
Tidak ketinggalan, Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan menawarkan maklumat mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak melibatkan Curtin University Malaysia, Swinburne University of Technology Sarawak, Sarawak Tun Openg University of Technology (TAHOTECH) dan University of Technology Sarawak (UTS), selain bantuan Yayasan Sarawak, peluang latihan di CENTEXS, Sarawak Skills dan Kolej Laila Taib, temu duga terbuka JobSarawak, pengambilan Askar Wataniah, perkhidmatan PERKESO, SCOPE serta panduan kerjaya perkhidmatan awam negeri (SCS).





