LAWAS, 18 Nov — Semua Ketua Jabatan di Sarawak digesa memberi penekanan terhadap tiga aspek utama bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sentiasa cekap, mesra rakyat dan berkesan.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, langkah pertama yang perlu dititikberatkan adalah memudahkan urusan rakyat dengan menerangkan secara jelas prosedur serta dokumen yang diperlukan.

Menurutnya, perkara kedua pula melibatkan usaha memperkukuh kerjasama antara jabatan, manakala yang ketiga ialah memastikan setiap urusan yang dikendalikan dapat diselesaikan dengan segera.

“Terdapat tiga perkara penting yang perlu ditekankan oleh semua Ketua Jabatan. Pertama, memudahkan urusan rakyat dengan menerangkan prosedur dan dokumen yang diperlukan.

“Kedua, memperkukuh kerjasama antara jabatan. Ketiga, memastikan setiap urusan yang dikendalikan dapat diselesaikan dengan segera,” katanya pada Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih mewakili seluruh penjawat awam negeri kepada Premier Sarawak atas penyediaan kemudahan pentadbiran baharu yang serba moden di daerah berkenaan.

“Bagi pihak seluruh warga Perkhidmatan Awam Sarawak, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Premier Sarawak atas satu lagi hadiah dan pemberian yang amat bermakna iaitu Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas,” ujarnya.