KUCHING | 6 November 2026 – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi menetapkan 12 Disember 2026 (Sabtu) sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.

Foto: Jabatan Penerangan Malaysia
Pengerusi SPR, Dato' Sri Ramlan Dato' Harun mengumumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November 2026 (Sabtu), manakala hari pengundian awal berlangsung pada 8 Disember 2026 (Selasa).
Penetapan jadual tersebut memberi ruang tempoh berkempen rasmi selama 14 hari, bermula sejurus pengisytiharan calon pada 28 November hingga jam 11.59 malam pada 11 Disember 2026.
Keputusan berkenaan dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Khas SPR hari ini susulan penerimaan pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak berhubung pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak ke-19 pada 26 Oktober 2026 bagi mengisi kekosongan kesemua 82 kerusi.
Pelaksanaan temasya demokrasi di Sarawak ini dianggarkan memerlukan peruntukan kewangan berjumlah RM174.94 juta.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang diguna pakai adalah daftar terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan September Tahun 2026 yang dikemas kini sehingga 25 Oktober 2026, merangkumi keseluruhan 2,058,781 pemilih berdaftar.
Jumlah tersebut terdiri daripada 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera bersama pasangan, serta 10,833 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama pasangan.
Bagi melancarkan pengurusan hari pengundian, SPR melantik 40,505 petugas pilihan raya dengan sokongan 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan 305 Penolong Pegawai Pengurus. Sebanyak 97 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan diaktifkan.
Secara keseluruhan, SPR menyediakan 2,027 pusat mengundi dengan 4,588 tempat mengundi atau saluran, merangkumi 82 pusat mengundi awal (106 saluran) serta 1,945 pusat mengundi biasa (4,482 saluran).
Bagi pemantauan sepanjang tempoh berkempen, sebanyak 82 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) ditubuhkan dengan keanggotaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta wakil calon yang bertanding.
Urusan permohonan undi pos dalam dan luar negara telah mula dibuka secara dalam talian sejak 26 Oktober lalu menerusi portal www.spr.gov.my. Tarikh tutup permohonan bagi Kategori 1A (petugas PR, anggota SPR, polis, tentera, media) ditetapkan pada 25 November 2026, manakala Kategori 1B (warganegara di luar negara) dan Kategori 1C (agensi/organisasi) ditutup pada 20 November 2026.
Pada PRN ke-13 ini, SPR turut memperluaskan projek rintis Sistem Optical Character Recognition – Voter Attendance(OCR-VA) di semua saluran pusat mengundi membabitkan 82 bahagian DUN. Sistem ini merekod dan menandakan kehadiran pengundi secara automatik melalui imbasan kad pengenalan bagi meningkatkan kecekapan proses tanpa mengubah tatacara mengundi sedia ada.
Semakan maklumat pengundian serta penjualan DPPR dibuka bermula 23 November 2026 melalui portal MySPR Semak, aplikasi MySPR Semak, atau Hotline SPR di talian 03-8892 7218.





