PUTRAJAYA | 27 Oktober 2026 - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) secara rasmi telah menerima pemakluman berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 yang berkuat kuasa pada 26 Oktober 2026.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril bin Idrus menerusi satu kenyataan media memaklumkan bahawa notis pemakluman rasmi itu dikemukakan oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar melalui surat bertarikh 27 Oktober 2026.
Pembubaran tersebut dilaksanakan selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 21 (2) Perlembagaan Negeri Sarawak.
“Berdasarkan Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut.
“Sehubungan dengan itu, satu Mesyuarat Khas bagi urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak yang Ke-13 akan diadakan pada 6 November 2026 (Jumaat),” jelas kenyataan tersebut.
Menurut SPR, Mesyuarat Khas berkenaan akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Dato’ Sri Ramlan bin Dato’ Harun bagi membincangkan serta menetapkan tarikh-tarikh penting perjalanan pilihan raya.
Antara perkara yang bakal dimuktamadkan merangkumi tarikh pengeluaran Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan diguna pakai, serta penyelarasan persiapan logistik lain bagi melaksanakan proses pengundian berkenaan.
Satu sidang media khas turut dijadualkan berlangsung sejurus selesai mesyuarat tersebut bagi mengumumkan keputusan rasmi kepada umum.







