KUCHING | 28 Oktober 2026 - Siasatan awal polis mendapati tindakan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang mencederakan seorang guru wanita menggunakan sebilah kapak di sebuah sekolah swasta di sini dipercayai berpunca daripada masalah kemurungan.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan bin Ishak mengesahkan pelajar lelaki berusia 16 tahun yang disyaki menetak seorang guru menggunakan kapak di sebuah sekolah swasta di Kuching mengalami masalah kemurungan.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan bin Ishak berkata, insiden tersebut berlaku pada 21 Oktober lalu sekitar jam 7.50 pagi sebelum Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 8.03 pagi.
Menurut beliau, mangsa yang merupakan seorang guru wanita berusia 42 tahun mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri dan menerima 16 jahitan semasa mendapatkan rawatan di Hospital KPJ Kuching.
Bagaimanapun, kecederaan fizikal tersebut disahkan tidak menjejaskan tisu otot atau struktur tulang mangsa.
Susulan kejadian berkenaan, suspek berjaya ditahan pada hari yang sama. Remaja terbabit kini masih berada di hospital bagi menerima rawatan serta menjalani penilaian tahap kesihatan mental oleh pakar psikiatri.
“Pihak polis telah menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan siasatan awal mendapati insiden ini dipercayai berpunca daripada masalah kemurungan yang dialami oleh suspek,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Beliau menambah, pihak polis turut merampas beberapa bahan bukti penting termasuk sebilah kapak, pisau, bahan letupan mercun yang telah diubah suai, serta peranti komputer dan gajet milik suspek bagi dihantar ke Jabatan Forensik dan Jabatan Kimia untuk analisis lanjut.
Setakat ini, seramai 38 orang saksi telah dirakam percakapan merangkumi warga pendidik, rakan pelajar, pengawal keselamatan sekolah, pakar perubatan, serta ibu bapa suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 atas kesalahan pemilikan bahan letupan atau senjata berbahaya.
Kertas siasatan lengkap telah dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada 26 Oktober lalu untuk penelitian serta arahan pendakwaan selanjutnya.
Dalam pada itu, DCP Saifullizan menggesa masyarakat agar menghentikan sebarang spekulasi atau penularan maklumat tidak sahih di media sosial bagi memelihara integriti siasatan serta menjaga privasi dan kebajikan mangsa serta suspek yang masih di bawah umur.
Turut hadir pada sesi sidang media tersebut ialah Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak (Risikan/Operasi), ACP Mohd Ishak Yaakob; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak (Siasatan/Perundangan), ACP Tonny anak Lunggan; dan Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supt Mohd Syafiq Jinuin Abdullah.





