KUALA LUMPUR | 31 Oktober 2026 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan seramai 130 rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Pakistan di Rawalpindi berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam sindiket pusat panggilan penipuan jenayah siber (scam call centre).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya kini sedang berhubung rapat dengan agensi keselamatan Pakistan melalui kerjasama Kementerian Luar Negeri bagi mendapatkan maklumat dan rekod terperinci berhubung kesemua tangkapan terbabit.
Menurut beliau, kes berkenaan telah diserahkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman untuk tindakan segera, termasuk perancangan menghantar satu pasukan penyiasat khas ke Pakistan bagi memantau dan membantu siasatan di sana.
“Sebahagian daripada mereka (rakyat Malaysia yang ditahan) mempunyai visa sah dan sebahagian lagi pas lawatan telah tamat tempoh.
“Kerajaan Pakistan membantu kami sebaik mungkin bagi memastikan siasatan dijalankan secara teratur. JSJK akan terus berkomunikasi secara aktif dengan pihak berkuasa di sana,” katanya ketika ditemui media pada majlis makan malam Jasamu Dikenang Persatuan Pesara Polis Diraja Malaysia di sini, semalam.
Mengulas identiti suspek, Mohd Khalid menjelaskan profil penuh setiap individu terbabit masih dalam proses semakan lanjut, namun mereka disahkan sebagai pemegang pasport Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum.
Terdahulu, media Pakistan, ProPakistani melaporkan bahawa Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan (NCCIA) Pakistan telah menyerbu sebuah premis di KASA Tower di kawasan Bahria Town Fasa VIII selepas memperoleh waran geledah mahkamah.
Hasil pemeriksaan ke atas peralatan dan peranti digital yang dirampas di lokasi tersebut mendapati pusat operasi terbabit beroperasi secara terancang khusus untuk memperdaya mangsa di Malaysia.
Modus operandi sindiket membabitkan panggilan internet dengan menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan institusi perbankan yang mendakwa kononnya berlaku transaksi mencurigakan dalam akaun sasaran. Panggilan itu kemudiannya dialihkan kepada operator lain yang menyamar sebagai pegawai polis Malaysia.
Bagi meyakinkan mangsa, suspek didakwa mengenakan seragam polis lengkap serta menggunakan latar belakang reka bentuk pejabat rasmi menerusi panggilan video sambil mengugut mangsa dengan dakwaan pembabitan dalam kes pengubahan wang haram serta tindakan undang-undang sekiranya enggan memindahkan wang kecemasan.
Wang hasil perdayaan itu dipercayai dipindahkan ke akaun Touch 'n Go eWallet sebelum ditukarkan kepada mata wang kripto melalui pelbagai platform pelaburan.
Siasatan pihak berkuasa mendapati operasi sindiket di Pakistan itu dipercayai didalangi oleh seorang rakyat Malaysia yang berpangkalan di Kemboja, yang mengawal selia operasi menerusi bantuan pengurus serta penyelia premis di lokasi.
Selain itu, seorang warga negara China yang disyaki berperanan mencairkan mata wang kripto kepada mata wang rupee Pakistan turut dikenal pasti.
Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 13, 14 dan 16 Akta Pencegahan Jenayah Elektronik Pakistan 2016 (Pindaan 2025) serta peruntukan Kanun Keseksaan Pakistan atas kesalahan pemerasan, penyamaran, penipuan dan persubahatan jenayah.





