LAWAS | 29 Oktober 2026 - Tindakan empat lelaki menyimpan senjata api serta peluru tanpa permit sah membawa padah apabila kesemua mereka ditahan pihak polis dalam siri serbuan berasingan di sekitar daerah ini baru-baru ini.

Empat individu ditahan kerana disyaki memiliki senjata api dan peluru
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan memaklumkan bahawa siri serbuan berkenaan dilancarkan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas bermula 25 Oktober lalu.
Menurut beliau, serbuan pertama dijalankan kira-kira jam 1.15 tengah hari di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Ba’kelalan, Lawas, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun.
“Pemeriksaan rapi di bahagian dapur rumah terbabit menemukan sepucuk senapang patah buatan sendiri yang disembunyikan di dalam sebuah peti sejuk terpakai,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

BARANGAN KES… Beberapa laras senapang dan peluru yang ditemui dirumah suspek.
Susulan operasi tersebut, pihak polis melakukan serbuan kedua di sebuah lagi kediaman tidak bernombor di jalan yang sama pada jam 2.00 petang hari berkenaan. Serbuan itu berjaya menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 53 dan 63 tahun, selain merampas tiga butir peluru senapang patah yang dijumpai di dalam sebuah bakul di ruang tamu.
Siasatan mendapati ketiga-tiga individu berkenaan tidak memiliki sebarang lesen pemilikan senjata api mahupun peluru, manakala semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan kes narkotik.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada 27 Oktober sekitar jam 1.20 tengah hari, polis menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Lawas Damit dan menahan seorang pemuda tempatan berusia 20 tahun.
Hasil pemeriksaan ke atas kediaman berkenaan membawa kepada penemuan dan rampasan sepucuk senapang patah serta dua laras senapang angin yang disimpan tanpa lesen. Pemeriksaan rekod lampau mendapati pemuda terbabit tidak mempunyai sebarang sabitan jenayah sebelum ini.
Kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, DSP Liong mengingatkan masyarakat agar tidak menyimpan, memiliki atau menggunakan sebarang jenis senjata api atau peluru tanpa kebenaran undang-undang, serta menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti sedemikian untuk tampil menyalurkannya ke balai polis berhampiran.





