SARATOK | 29 Oktober 2026 - Taktik licik seorang lelaki tempatan yang menyamar sebagai bomoh dan menawarkan perkhidmatan ritual mistik jarak jauh terbongkar selepas dia ditahan polis susulan kes penipuan membabitkan kerugian berjumlah RM554,525.

Suspek berusia 38 tahun itu diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai Inspektor Sofian Zainuddin kira-kira jam 9.00 malam semalam di sebuah medan selera di Sibu Jaya.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie memaklumkan penahanan tersebut dibuat susulan laporan polis yang difailkan oleh mangsa, seorang wanita tempatan berusia 64 tahun dari daerah Kabong.

Menurut Mathew, perkenalan antara mangsa yang merupakan seorang suri rumah dan suspek bermula sekitar Jun 2025 di sebuah kedai kopi di Sibu Jaya semasa wanita berkenaan ditemani tiga rakannya. 

Dalam pertemuan itu, suspek mendakwa mempunyai kebolehan merawat penyakit dan menawarkan ikhtiar rawatan jarak jauh bagi masalah kesihatan anak mangsa, selain menyerahkan sebotol minyak pelindung diri.

Keyakinan mangsa terhadap keupayaan suspek mula bertunas apabila melihat sedikit perubahan positif terhadap kesihatan anaknya selepas tempoh berkenaan.

“Pada Oktober 2025, suspek kembali menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan mengatur pertemuan semula di lokasi sama di Sibu Jaya. Kali ini, suspek mendakwa terdapat gangguan atau masalah berkaitan tanah milik mangsa dan menawarkan upacara rawatan jarak jauh bagi membersihkan tanah tersebut.

“Bagi tujuan ritual berkenaan, suspek meminta mangsa membuat pembayaran berturut-turut atas alasan membeli barangan keperluan upacara miring, yang menyaksikan mangsa diarahkan memindahkan wang ke enam akaun bank individu berbeza secara berperingkat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Keterlanjuran mangsa mempercayai dakwaan mistik itu akhirnya membawa padah apabila dia memindahkan wang terkumpul sehingga mencecah RM554,525 sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan dan tampil membuat laporan polis di Balai Polis Saratok.

Dalam serbuan di Sibu Jaya itu, pihak polis turut merampas sebuah telefon pintar jenama Realme bersama kad sim yang disyaki digunakan suspek dalam operasi memperdaya mangsa.

Suspek kini ditempatkan di Lokap Balai Polis Saratok bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, DSP Mathew menasihati masyarakat umum agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang dakwaan rawatan tradisional atau mistik yang menuntut bayaran melampau, khususnya membabitkan transaksi wang ke akaun individu yang meragukan.