PUTRAJAYA | 29 Oktober 2026 - Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dikembalikan semula ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penamatan tempoh penugasannya sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain selaku Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS)
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selaras dengan peraturan pentadbiran dan tatacara perkhidmatan awam yang berkuat kuasa, memandangkan beliau sebelum ini merupakan pegawai kanan polis yang dipinjamkan bagi menerajui agensi baharu berkenaan.
Langkah mengembalikan beliau ke pasukan asal diambil bagi memastikan kelancaran operasi dan kesinambungan tugas AKPS tidak terjejas, sekali gus mengekalkan fokus agensi tersebut dalam memperkukuh benteng sempadan dan kedaulatan tanah air.
Terdahulu, kedudukan perkhidmatan beliau dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pasukan Polis sebelum proses berkaitan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tindakan sewajarnya.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September, di mana beliau mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
KDN memberi jaminan bahawa pentadbiran AKPS akan terus beroperasi secara optimum berlandaskan tatakelola, integriti, dan disiplin yang tinggi dalam memelihara keselamatan pintu masuk utama serta perlindungan hasil negara.





