
PREMIER Sarawak menyampaikan ucapan penggulungan penggulungan Belanjawan Sarawak 2027 pada sidang DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya - Foto Utusan Sarawak
PETRA JAYA | 21 Oktober 2026 - Kerajaan Sarawak terus memperkasa agenda kesejahteraan rakyat apabila penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) disahkan turut menikmati pelbagai inisiatif bantuan utiliti, termasuk diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus dan potongan bil air sebanyak RM5 sebulan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kemudahan tambahan berkenaan disediakan sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri untuk meringankan beban perbelanjaan harian rakyat, khususnya golongan yang berpendapatan rendah.Mengambil contoh kes penerima individu bujang iaitu Pusspa a/p Trozen Vera Samy dari Tabuan Dayak, Kuching, beliau menjelaskan bahawa golongan bujang yang layak di bawah kategori SKAS turut menikmati keistimewaan yang sama seperti isi rumah lain di negeri ini.
“Penerima berkenaan turut menikmati diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus dan potongan bil air RM5 setiap bulan seperti isi rumah lain di Sarawak,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Belanjawan Sarawak 2027 sempena hari terakhir Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari memaklumkan bahawa menerusi inisiatif SKAS, golongan isi rumah dalam kumpulan B40 menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,100 pada tahun ini yang dikreditkan secara terus ke dalam akaun dompet digital SPay Global milik penerima.
Bantuan bersasar itu dirangka khusus bagi membantu keluarga berpendapatan rendah serta warga emas menampung kos keperluan asas harian mereka di tengah-tengah cabaran ekonomi semasa.
Untuk rekod, kerajaan Sarawak turut mengumumkan kesinambungan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus kepada seluruh pengguna domestik bagi tahun 2027, melibatkan implikasi kewangan dan peruntukan sebanyak RM281 juta yang dijangka memanfaatkan kira-kira 716,000 akaun pengguna di seluruh wilayah ini.





